KETABAHAN dan semangat pelakon, Arena Wan, 23, menggalas tanggungjawab menjaga adiknya, Adam yang menghidap autisme wajar dicontohi ramai anak muda zaman sekarang.
Hanya Arena dan ibu bapanya sahaja faham akan cabaran dan kesukaran dihadapi demi memastikan kebajikan Adam dijaga sebaiknya.
Bagi Arena atau nama penuhnya Arena Wan Mun-Yi Iman Wan, pengalaman itu sebenarnya mematangkan.
Setidak-tidaknya, dia kenal erti pengorbanan pada usia muda.
“Saya tidak boleh samakan pengalaman saya dengan orang lain kerana ia berbeza bagi setiap keluarga. Saya kagumi pelakon, Zarina Zainuddin kerana ketabahan dan semangatnya menjaga dua anak autistik.
“Ia tidak mudah. Saya berdepan pelbagai kesukaran kerana men jaga adik yang menghidap autisme adalah tugas yang cukup berat. Apatah lagi Zarina, yang tentunya berdepan jalan lebih sukar berbanding keluarga saya.
“Saya anggap ini sebagai lumrah kehidupan. Ada cabaran dan kesukaran yang dihadapi, bukan sahaja keluarga saya, malah juga keluarga lain,” katanya.
Dalam masa yang sama, Arena tidak boleh menidakkan keinginannya yang juga mahu melakar nama sebagai seorang pelakon berjaya.
Setelah mengorbankan lebih dua tahun untuk memberi tumpuan menjaga adik tersayang, Arena merasakan keadaan sudah mengizinkan untuk melebarkan sayap dalam bidang yang dicintainya.
“Tapi saya tetap percaya kepada rezeki. Mungkin sekarang saya perlu melipatgandakan usaha dan bekerja lebih keras untuk mengejar cita-cita.
“Saya akui, saya baru menapak semula sebagai pelakon kerana tidak berpeluang melakukannya dua tahun sudah disebabkan membantu keluarga, menjaga Adam.
“Pada masa sama, sebelum ini saya banyak melakonkan watak sambilan. Mungkin kerana itu, masyarakat kurang nampak atau tidak menyedari kehadiran saya dalam dunia lakonan,” katanya.
JOURNAL SARAHAEYO
Kemunculan Arena melakonkan watak Sara, seorang peminat K-Pop dan K-Drama tegar dalam drama bersiri Journal Sarahaeyo sedikit sebanyak membuka mata terhadap kebolehan lakonan yang dimiliki gadis cantik ini.
Katanya, dia bersyukur kerana akhirnya bukan sahaja dia diberi peluang untuk melakonkan peranan penting, malah watak yang cukup dekat dengan kepe ribadiannya yang juga seorang peminat tegar genre muzik dan drama berkenaan.
“Saya terima komen positif, ada yang berterima kasih kerana pada mereka watak Sara itu berjaya dipersembahkan. Peminat K-Pop dan K-drama di Malaysia berkongsi pengalaman yang dilalui Sara.
“Saya gembira kerana diberi peluang untuk mewakili mereka menerusi watak ini. Ia sedikit sebanyak mengikis tanggapan tidak benar tentang peminat K-Pop dan K-Drama,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Arena memaklumkan penglibatan sebagai pelakon dalam drama berkenaan membawa dia menjejaki Korea Selatan ketika penggambaran Journal Sarahaeyo dilakukan di negara tersebut.
“Ia ibarat mimpi yang menjadi kenyataan, melihat sendiri keindahan bumi Korea Selatan dan menyaksikan budaya dan keunikan mereka. Ia adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya,” kongsinya.