EMRAZ 'terbangkan' semula 5,000 jemaah

EMRAZ ‘terbangkan’ semula 5,000 jemaah

EMRAZ menerbangkan semula jemaah bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat EMRAZ Travel and Tours Sdn Bhd (EMRAZ) dijangka menerbangkan semula 5,000 jemaah umrah dalam separuh tahun kedua tahun ini.

Dalam satu kenyataan, syarikat pengelola umrah itu memaklumkan, penerbangan jemaah merupakan antara tindakan segera dilaksanakan selain mematuhi arahan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memulihkan operasi EMRAZ yang terjejas sebelum ini.

Menurutnya, penerbangan pertama dijadualkan selepas musim haji tahun ini iaitu bermula hari ini dan berakhir pada Disember.

“Seramai 250 orang jemaah bakal berangkat ke Tanah Suci pada bulan ini.

“Sehingga kini, pihak syarikat juga mengembalikan wang berjumlah RM2.1 juta melibatkan 421 orang jemaah yang terjejas penerbangan umrahnya sebelum ini,” katanya hari ini.

Pada masa sama, EMRAZ sedang giat melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat dalam usaha untuk kembali berdaya saing dan menjadi antara pemain utama dalam pasaran di negara ini.

Katanya, pihak pengurusan yakin dapat beroperasi seperti mana biasa dalam jangka masa terdekat.

Pada 8 Julai lalu, MOTAC menggantung lesen syarikat EMRAZ selama enam bulan berkuat kuasa mulai 10 Julai ini sehingga 9 Januari 2024 selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.

Syarikat tersebut dikehendaki mengambil tindakan memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan dengan syarikat serta membuat penjadualan semula penerbangan umrah yang tertangguh.

Sebelum ini, pada 2 April lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi syarikat sama sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

Menurut kenyataan TH, keputusan ini diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan syarikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN