JOHOR BAHRU: Empat warganegara Singapura termasuk seorang wanita yang menjadikan sebuah kediaman rumah di Taman Perling di sini sebagai pusat operasi ‘scammer‘ mereka ditahan polis, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan melalui kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman serta kontinjen Johor serta Polis Singapura.
Menurut beliau, sindiket yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu itu mensasarkan warganegara Singapura yang mahu mencari pekerjaan di republik berkenaan.
“Berdasarkan rekod, sindiket yang menawarkan peluang pekerjaan tidak wujud itu telah menipu seramai 59 mangsa melibatkan kerugian berjumlah 2.9 juta dolar Singapura (SGD) atau hampir RM10 juta.
“Siasatan dibuat mendapati sindiket berkenaan tidak mensasarkan warganegara Malaysia dan mereka juga tidak menggunakan akaun bank atau nombor telefon yang berdaftar di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.
Tambah Kamarul Zaman, sindiket itu dipercayai beroperasi di negara ini bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan republik berkenaan.
“Tiga suspek lelaki telah diserah kepada polis Singapura pada 30 Jun lalu, manakala suspek wanita pula diserahkan pada 5 Julai setelah tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen,” jelasnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Kamarul Zaman memberitahu pihaknya telah menahan seramai 15 ahli kumpulan ahlong semalam selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.
Katanya, suspek yang berusia antara 22 hingga 43 tahun melibatkan 12 lelaki dan tiga wanita itu ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di sekitar bandar raya ini bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang.
“Siasatan awal mendapati semua suspek juga pernah ditahan sebelum ini dibawah nama kumpulan Ah Hao. Mereka adalah ahli kepada satu sindiket yang sudah lama aktif dalam kegiatan ahlong.
“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti seperti mengugut, menyimbah cat serta membakar kenderaan serta rumah,” ujarnya sambil memberitahu semua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Tambah Kamarul Zaman, pihaknya turut merampas tujuh kenderaan, 44 telefon bimbit, 22 kad ATM, lima komputer riba, empat cop syarikat, 19 set dokumen berkaitan pinjaman dan dua tablet. – UTUSAN