Empat punca masalah buah pinggang, kencing manis faktor utama - Utusan Malaysia

Empat punca masalah buah pinggang, kencing manis faktor utama

Dialisis Perkeso
V. Sivakumar menemui salah seorang pesakit yang menjalani rawatan dialisis, Govindasamy Machopoo ketika pelancaran Pelancaran Cawangan Baharu Pejabat Perkeso Klang dan Pusat Dialisis Perkeso di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Analisis Program Saringan Kesihatan Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) bagi tahun 2022 menunjukkan empat masalah kesihatan iaitu diabetis, obesiti, kolesterol dan darah tinggi yang menjadi faktor kegagalan buah pinggang sehingga penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Sebanyak 61.2 peratus daripada 27,152 pekerja berdepan masalah kolesterol tinggi diikuti 42 obesiti, 27.9 mengidap darah tinggi dan 14.1 menghadapi masalah kencing manis yang menjadi faktor utama kepada kegagalan buah pinggang.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pesakit buah pinggang dalam kalangan pekerja yang mencarum dengan Perkeso meningkat 14 peratus atau 9,000 orang setiap tahun dan keadaan itu dibimbangi memberikan kesan kepada pencarum dan produktiviti mereka.

“Peratusan peningkatan ini amat membimbangkan kerana kesannya bukan sahaja menyebabkan Orang Berinsurans tidak dapat bekerja, kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan, malah keluarga mereka juga hilang punca rezeki.

“Seterusnya, negara juga akan kehilangan aset sumber manusia yang sangat berharga, yang menyumbang kepada produktiviti dan perkembangan ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Cawangan Baharu Pejabat Perkeso Klang dan Pusat Dialisis Perkeso, hari ini.

Beliau memaklumkan, pembukaan pusat dialisis di cawangan baharu Pejabat Perkeso Klang itu akan memudahkan pencarum yang memerlukan rawatan tersebut mendapatkannya secara percuma.

Pembukaan Pusat Dialisis Perkeso di sini menjadikan badan berkanun itu memiliki tiga pusat dialisis di bawah pengurusan Nephrocare Management Sdn Bhd (NMSB) iaitu di Kluang dan Batu Pahat, Johor.

Dekat cawangannya di sini, Perkeso mempunyai enam mesin dialisis yang kini sedang digunakan oleh 25 pesakit sejak Februari lalu untuk menjalani rawatan tiga kali seminggu dan bakal menerima tiga mesin lagi dalam masa terdekat.

Malah, pada masa akan datang di cawangan tersebut juga akan memiliki 25 mesin dialisis apabila tambahan 16 lagi sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Sivakumar dalam sidang akhbar program sama memberitahu, Perkeso mempunyai perancangan untuk membuka cawangan pusat dialisis lain seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

“Apabila kemudahan dialisis diperkenalkan Perkeso pada 1999, kos ditanggung adalah RM1.12 juta, sejak itu kos terus meningkat kepada RM334.67 juta pada tahun 2022 dan dijangka akan mencecah lebih setengah bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Sehingga Mei 2023, saya dimaklumkan Perkeso mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM145.3 juta untuk membiayai kemudahan rawatan dialisis dan kos ini dijangka akan terus meningkat, ini kerana Perkeso menerima antara 2,000 hingga 3,000 permohonan baharu untuk kemudahan dialisis pada setiap tahun,” jelasnya.

Katanya lagi, perkhidmatan pusat dialisis yang disediakan Perkeso dapat meringankan beban pesakit dan ahli keluarga apabila sekitar RM2,000 kos rawatan bagi seorang pencarum setiap bulan ditanggung oleh Perkeso. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya