GERIK: Empat lelaki tempatan ditahan di dua lokasi berasingan selepas disyaki terbabit kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM15,600.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, tangkapan pertama pada Jumaat lalu melibatkan tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 34 tahun pada 4.30 pagi di Kilometer 26, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Fasa Dua.
Katanya, tangkapan itu dibuat susulan maklumat awam berkaitan sebuah lori dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Kenderong.
“Hasil pemeriksaan di belakang lori mendapati terdapat pemotong kabel dan 42 gulungan kabel yang telah dipotong di mana tertera tulisan TM.
“Kesemua barang kes itu dirampas dan ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan reman sejak Jumaat lalu untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ekoran tangkapan ke atas kesemua suspek, pihak polis telah membuat tangkapan susulan terhadap seorang lelaki berusia 50 tahun di Sungai Petani, Kedah semalam.
Katanya, suspek yang disyaki terlibat dalam kes sama diberkas pada pukul 1.30 tengah hari dan ditahan reman mulai hari ini sehingga Khamis depan.
“Pihak TM telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan rampasan barang kes adalah kabel miliknya yang berada di laluan tepi jalan di Jalan Kuala Kenderong.
“Laporan polis telah pun dibuat pihak berkenaan pada Jumaat dan mendakwa kerugian dialami berjumlah RM15,600,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi. – UTUSAN