Empat lagi produk baharu eko-pelancongan semarak Tahun Melawat Perlis - Utusan Malaysia

Empat lagi produk baharu eko-pelancongan semarak Tahun Melawat Perlis

MOHD. Shukri Ramli (empat dari kanan) dan Ismail Parlan (tiga dari kanan) melancarkan Tapak Campervan Jati di SPF Mata Ayer, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama menyemarakkan lagi segmen eko-pelancongan
negeri ini apabila menambah empat produk baharu berasaskan alam sekitar di Perlis.

Ketua Pengarahnya, Dr. Ismail Parlan berkata, produk pelancongan berasaskan alam sekitar itu memberi peluang kepada pencinta alam untuk berkunjung ke negeri yang terkenal dengan keunikan alam semula jadi itu.

Katanya, antara produk tersebut adalah seperti Denai Chenderai, Tapak Campervan Jati, Chalet Kesinai selain sebuah bengkel larik yang terletak di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer.

“Denai Chenderai yang dibuka pada hari ini mempunyai jarak laluan sepanjang 500 meter dan diambil namanya sempena taburan spesies chenderai yang banyak di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Tambah Ismail, Tapak Campervan Jati pula dibuka untuk peminat camper yang ingin menikmati suasana bermalam dalam hutan ladang yang menenangkan.

Katanya, sebanyak enam unit tapak boleh disewa oleh mereka yang memiliki motorhome atau campervan hanya pada harga RM30 semalam yang turut dilengkapi kemudahan bilik air, sumber elektrik dan lain-lain keperluan.

“Selain itu, bagi mereka yang ingin merasai suasana lebih selesa boleh bermalam di dua buah Chalet Kesinai hanya pada harga RM150 semalam yang menyediakan satu katil keluarga dan katil single di setiap bilik.

“FRIM juga turut menawarkan pakej aktiviti memasuki denai dan menaiki titian kanopi sepanjang 100 meter dan berketinggian 80 meter dari aras laut bagi mereka yang bermalam di sini,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat sendiri teknologi kayu di Bengkel Larik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis mesin pemprosesan kayu berdiameter kecil.

Katanya, komuniti terlibat di dalam projek ini kelak akan dilatih oleh tenaga mahir daripada saintis FRIM sendiri.

“Pusat latihan ini dilihat mampu membantu komuniti setempat untuk menjana sumber pendapatan melalui penjualan produk kraftangan berasaskan jati disamping dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pelancaran kesemua fasiliti ekopelancongan di SPF Mata Ayer itu juga bakal menyemarakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024/2025 selain disokong lokasinya yang terletak berdekatan pusat tarikan pelancong di Padang Besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya