MELIHAT kejayaan filem Rahsia yang pernah melakar kecemerlangan pada 1987, anak kepada pengarah asal naskhah tersebut, Shamyl Othman tidak teragak-agak melakukan penceritaan semula filem itu (versi reboot).
Shamyl yang merupakan anak kepada sutradara, Othman Hafsham berkata, dia berusaha sedaya upaya untuk mengolah semula filem tersebut dalam konteks berlainan walaupun mengambil inspirasi daripada filem asal.
“Kita bukan ceritakan benda sama. Masa pun sudah berubah, Rahsia bagi 2023 adalah di set sekarang bukan di set penggambaran zaman 80an.
“Filem yang sama tetapi plot cerita berbeza. Pada masa sama, penonton akan melihat elemen sama daripada filem asal.
“Saya juga gementar kalau penonton membandingkan dengan filem asal. Saya harap penonton akan dapat menerima naskhah ini,” jelasnya.
Shamyl juga memberitahu ada mengekalkan beberapa elemen seperti piano yang terdapat dalam filem asal.
Bagaimanapun, rumah asal seperti yang terdapat dalam filem terdahulu tidak dapat digunakan sebab sudah dirobohkan.
“Saya masih ingat semasa ayah (Othman) buat penggambaran asal filem itu, ruang bahagian dalam adalah di sebuah rumah di Ampang. Bahagian luar pula di Port Dickson.
“Ikutkan filem ini sudah siap penghujung 2020, tetapi sebab Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu, ia baru ditayangkan tahun ini, ditambah pula dengan trend orang ramai menonton wayang yang semakin meriah,” katanya.
DISIPLIN EMAN MANAN
Disoal mendapatkan beberapa pelakon asal seperti Noor Kumalasari, Shamyl berkata, hasrat tersebut bagaimanapun tidak kesampaian.
“Kita cuba dapatkan Kak Noor untuk satu watak, tetapi dia minta maaf sebab sudah tidak berlakon lagi. Dia pun sudah lama meninggalkan kerja di depan kamera,” katanya.
Selain Nabila Huda dan Fikry Ibrahim yang menjadi pelakon utama filem ini, Shamyl berkata, dia juga berjaya menampilkan Eman Manan.
Kongsinya, dia berasa gerun ketika kali pertama mengadakan pertemuan dengan pelakon legenda itu.
“Eman Manan adalah jenis yang tidak banyak bercakap. Mula-mula pergi jumpa dia, kita jangka mungkin dia tak minat sangat.
“Tetapi bila baca skrip, dia suka skrip itu dan watak yang perlu digalas juga memuaskan hatinya. Dia sangat profesional dan tahu apa yang perlu dibuat.
“Aura dia memang lain macam ketika masuk ke set penggambaran, sampai buat kita rasa jangan main-main ketika bekerja,” katanya.
RAHSIA PERNAH MENANG
Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga lakonan Nabila sebagai Ramlah (watak asal Noorkumalasari) dan Fikry sebagai Hamdan (watak asal Shukery Hashim) yang pulang bercuti ke kampung.
Keadaan bertukar cemas selepas anak mereka tiba-tiba hilang semasa berkelah di tepi pantai. Kehilangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan gangguan kuasa mistik.
Untuk rekod, naskah asal pernah menjadi filem seram pertama yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-7 serta membolot tujuh anugerah dalam kategori lain pada 1987.
Filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Five Star Trading ini dijadualkan menjengah pawagam, bermula 10 Ogos depan.