Elak caci, fitnah menjelang pilihan raya - Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Elak caci, fitnah menjelang pilihan raya – Sultan Selangor

Fitnah
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan jemaah Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam menekankan bahaya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan fitnah terutama menjelang musim pilihan raya.

Baginda meminta semua pihak memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk ‘Dosa Mengumpat dan Mencaci’ yang dibacakan khatib di masjid seluruh negeri ini hari ini.

Titah Sultan Sharafuddin, segala perbuatan dan tingkah laku seumpama itu bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang sengketa dan permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

“Baginda sebelum ini sering kali menasihati umat Islam tidak terjerumus dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini dan bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.

“Perbuatan fitnah dan mencaci menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah setiap kali menjelang pilihanraya. Ia seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi rakyat,” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor, hari ini.

Tambah kenyataan itu, Sultan Sharafuddin juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun lalu bahawa isu berkaitan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.

Tegas baginda, perkara itu perlu supaya perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas.

“Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan sentiasa berbaik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak,” titah baginda.

Katanya lagi, Sultan Sharafuddin bertitah, raja dan sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri dan mesti dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi patuh kepada perintah Allah serta tidak menyuruh melakukan maksiat.

“Baginda mengingatkan umat Islam  berhati- hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya