JOHOR BAHRU: Lebih daripada 30,000 unit kediaman ditawarkan kira-kira 50 pemaju hartanah di Ekspo Hartanah Johor 2023 (JPEX 2023) yang dianjurkan di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kediaman tersebut melibatkan kesemua kumpulan ekonomi masyarakat di negara ini, sama ada B40, M40 dan juga T20.
Menurut beliau, itu merupakan antara keunikan ekspo JPEX 2023 yang diadakan selama empat hari bermula semalam.
“Antara unit rumah yang ditawar adalah 26 projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) membabitkan 5,363 unit di bawah harga RM150,000 di seluruh negeri; 1,100 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Tiram dan PPR Permas dan 408 unit Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) di RTBJ Kempas, Bandar Putra serta Iskandar Puteri.
“Selain itu, kita juga tawarkan lebih 15,000 unit lot Bumiputera membabitkan hampir 750 projek selain lebih 10,000 unit hartanah dengan pegangan bebas,” katanya semasa Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.
Hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Tambah Mohd. Jafni, pihaknya turut menyasarkan kehadiran seramai lebih 100,000 pengunjung terdiri daripada kumpulan sasar khususnya golongan yang sedang mencari rumah kediaman.
“Kumpulan sasar terdiri daripada pembeli rumah kali pertama, pembelian RMMJ, lot Bumiputera, penjawat awam, pekerja swasta dan golongan berkerja sendiri. Bukan sahaja rakyat Johor, malah dari luar Johor atau luar negara seperti Singapura dan Indonesia juga dialu-alukan.
“Penganjuran JPEX 2023 selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memberi peluang kepada rakyat negeri ini khususnya yang berkelayakan untuk membeli RMMJ atau lot bumiputera.
“Seperti yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapan Belanjawan Johor 2023 tahun lalu, beliau memaklumkan satu inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Perumahan Rakyat yang akan menganjurkan satu ekspo hartanah.
“Penganjuran ekspo ini adalah bagi memperkasakan penjualan segala bentuk hartanah termasuk hartanah tidak terjual,” katanya.
Beliau berharap, penganjuran JPEX 2023 bakal menjadi platform pengisian dan gerbang informasi kepada orang ramai, sekali gus membantu mendukung matlamat kerajaan negeri dalam merancakkan sektor perumahan di Johor.
“Harapan kerajaan negeri adalah supaya seberapa ramai rakyat Johor dapat memiliki rumah sendiri,” jelasnya lanjut.
Ekspo berkenaan menyediakan sebanyak 70 ruang pameran melibatkan lebih 50 pemaju hartanah, 13 agensi kerajaan serta lapan institusi kewangan bagi memberi kemudahan buat pengunjung dari segi khidmat nasihat pembelian hartanah. –UTUSAN