Dulu lorong kotor, kini tumpuan pelancong - Utusan Malaysia

Dulu lorong kotor, kini tumpuan pelancong

KEADAAN lorong belakang medan selera Menara Condong Teluk Intan yang dihiasi payung berwarna warni untuk menarik pelancong. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Keadaan Medan Selera Menara Condong di sini yang usang serta kotor sehingga mencemarkan pemandangan dan disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini, kini sudah bertukar wajah.

Atas inisiatif Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), medan selera itu khususnya lorong belakang bangunan di situ sudah dinaik taraf dan diperindahkan dengan hiasan berpuluh-puluh payung berwarna warni, sehingga menjadi tarikan pelancong.

Suasana di lorong itu sudah jauh berubah, daripada lorong yang kotor dan berbau busuk, kini ia menarik sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu sehingga ada yang tidak melepaskan peluang bergambar dan berswafoto di situ.

Pegawai Perhubungan Awam MPTI, Megat Amerudin Me­gat Danian berkata, naik taraf medan selera dan lorong belakangnya merupakan antara usaha pihak berkuasa tempatan itu untuk memperindahkan bandar Teluk Intan bagi menarik pelancong.

Menurutnya, sebelum ini, lorong belakang medan selera Menara Condong itu kotor dan menjejaskan imej bandar ini kerana lokasinya di kawasan tumpuan pelancong.

“Naik taraf lorong medan selera Menara Condong merupakan antara yang dilakukan dalam usaha mencantikkan lagi bandar Teluk Intan.

“Lorong belakang medan selera itu dibersihkan dan dicat baharu dan kini sudah cantik berbanding keadaan yang kotor dan busuk sebelum ini. MPTI beri perhatian naik taraf lorong tersebut kerana ia terletak dalam kawasan tumpuan pelancong.

“Lampu solar dan payung berwarna warni dipasang di lorong belakang Medan Selera Menara Condong dan dinding bangunan medan selera itu dicat dengan pelbagai warna.

“Keadaannya sudah jauh berubah dan menarik pelancong untuk singgah sama ada untuk makan atau merakamkan gambar di lorong itu,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai keadaan Medan Selera Menara Condong di sini usang yang mencemarkan pemandangan dalam kala­ngan pelancong yang berkunjung ke bandar ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya