Dua wanita tunggang motosikal aksi 'Superman' ditahan - Utusan Malaysia

Dua wanita tunggang motosikal aksi ‘Superman’ ditahan

TANGKAP layar aksi wanita yang menunggang motosikal secara berbahaya di Kilometer 375.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tanjung Malim yang tular di media sosial. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Aksi ‘Superman’ dua wanita menunggang secara berbahaya dengan meniarap di atas motosikal di Lebuh Raya Utara-Selatan mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan kedua-dua penunggang motosikal meluruskan kaki ke belakang dan aksi berbahaya zig zag itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, wanita berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan ketika hadir menyerah diri ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada pukul 9.10 malam.

Katanya, kedua-dua suspek berasal dari Pulau Indah, Selangor.

“Berdasarkan siasatan, kejadian di Kilometer 375.9 arah utara itu berlaku Ahad lalu. Ketika kejadian, kedua-dua penunggang motosikal itu dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

“Apabila tiba di kawasan rehat dan rawat Behrang, mereka telah menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu dengan aksi Superman dan zig zag,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan semakan, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai operator platform e-dagang dan pengasuh bayi itu tidak mempunyai lesen dan rekod jenayah.

Katanya, kedua-dua tangkapan juga akan diberi jamin polis selepas selesai tindakan dan siasatan.

“Tindakan saman turut dikenakan ke atas mereka atas kesalahan tiada lesen. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya