PARIT: Kegembiraan berganda buat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah di sini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022, apabila mereka dihadiahkan wang tunai RM1,000.
Kedua-dua pelajar terbabit, Nur Izah Sabri dan Nur Haziqah Az-zahra Yusaini masing-masing berusia 20 tahun memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM yang diumumkan hari ini.
Insentif wang tunai tersebut merupakan sumbangan daripada pengetua SMK Iskandar Shah, Sabarudin Othman.
Menurut Sabarudin, insentif yang disampaikan itu bertujuan menghargai komitmen dan penat lelah pelajar bagi meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Malah katanya, wang tunai itu juga boleh digunakan sebagai persediaan untuk mereka melangkah masuk ke universiti.
“Ini adalah penghargaan saya atas kerja keras mereka. Saya mahu mereka rasa gembira dan dihargai selepas bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan.
“Diharapkan, kecemerlangan mereka ini dijadikan motivasi kepada pelajar lain untuk meraih keputusan cemerlang dan membanggakan sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Iskandar Shah di sini hari ini.
Menurut Sabarudin, sebagai sebuah sekolah luar bandar, kejayaan dua pelajar itu memperoleh PNGK 4.00 dianggap satu prestasi membanggakan.
“Ini antara kejayaan terbaik pernah direkodkan kerana tahun sebelumnya, hanya seorang berjaya peroleh 4.00,” katanya yang turut menyampaikan wang tunai RM100 kepada 38 pelajar yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas.
Sementara itu, Nur Izah dari Felcra Nasaruddin, Bota berkata, keputusan cemerlang yang diterimanya hari ini mengubat kekecewaannya pada peperiksaan percubaan lalu apabila tidak memperoleh A.
Katanya, dia mahu menghadiahkan kejayaan itu kepada ibu dan bapanya yang merupakan individu yang selalu memberi semangat untuknya berjaya.
“Saya mahu masuk universiti dan ubah nasib keluarga. Sebagai seorang anak peneroka, saya menyaksikan kesusahan bapa bekerja, sebab itu saya belajar bersungguh-sungguh agar dapat bawa masa depan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.
Bagi anak pasangan guru, Nur Haziqah Az-zahra, dia bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan dengan memilih Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Memasuki tingkatan enam ini memang pilihan utama saya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana melihat potensinya untuk membantu saya mencapai cita-cita sebagai guru,” katanya. – UTUSAN