SHAH ALAM: Masalah kesesakan teruk dihadapi lebih 100,000 pengguna akibat bottle neck di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Taman Bukit Sandaran, Puncak Perdana di sini, dijangka berkurangan menerusi pembinaan lorong tambahan baharu yang bakal siap hujung tahun ini.
Projek berdekatan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana dan Alam Budiman itu melibatkan pelebaran jalan bagi kedua-dua hala laluan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, projek menaik taraf melibatkan kos berjumlah RM3 juta itu mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sejak bulan lalu.
“Justeru, projek fasa pertama melibatkan tambahan satu lorong segera dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
“Langkah jangka masa pendek itu diharap mampu mengurangkan kesesakan teruk di laluan lebih satu kilometer (km) tersebut,” katanya ketika meninjau projek itu, hari ini.
Beliau menambah, isu kesesakan itu perlu segera diselesaikan berikutan laluan satu lorong sedia ada tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
Terdahulu, lebih 100,000 pengguna laluan itu memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak sehingga lebih tiga kilometer (km) yang berpunca daripada kekurangan lorong untuk menampung aliran trafik tinggi.
Keadaan itu menyebabkan penduduk terutama di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding hanya lima minit sebelum ini.
Jelas Izham, fasa kedua turut akan dilaksanakan melibatkan pembinaan satu lagi lorong baharu di laluan tersebut kelak.
“Projek jangka masa panjang itu menelan kos RM20 juta itu bagaimanapun perlu ditanggung sepenuhnya oleh dua pemaju perumahan berkaitan. Ini menjadikan laluan itu akan menjadi tiga lorong kelak sekali gus bakal menyelesaikan isu kesesakan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN