INSIDEN serangan membabitkan tindakan penonton membaling barang ke arah penyanyi semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Terbaru, penyanyi rap terkenal, Drake menjadi mangsa apabila salah seorang penonton membaling telefon bimbit ke arahnya.
Insiden tersebut berlaku ketika Drake atau nama sebenarnya Aubrey Drake Graham menghiburkan peminat sempena konsert jelajahnya di Chicago, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Rapper berusia 37 tahun itu bagaimanapun terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan susulan insiden terbabit.
Ketika kejadian, Drake sempat menepis telefon bimbit yang mengenai pergelangan tangannya. Tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian itu.
Insiden seumpamanya bukanlah yang pertama kali berlaku kepada penyanyi ketika membuat persembahan di pentas.
Penyanyi asal AS, Kelsea Ballerini minggu lalu hampir cedera selepas seorang penonton membaling gelang yang mengenai mukanya ketika penyanyi tersebut membuat persembahan di Idaho.
Insiden terbabit membuatkan penyanyi berkenaan terpaksa memberhentikan persembahannya dan beredar seketika ke belakang pentas.
Dia beberapa minit kemudian kembali menghiburkan untuk menghabiskan persembahannya.
Bukan semua penyanyi yang berdepan insiden yang sama selamat daripada kecederaan.
Penyanyi, Bebe Rexha kurang bernasib baik apabila parah selepas terkena telefon bimbit yang dibaling penonton ke arahnya ketika membuat persembahan baru-baru ini.
Bebe dikejarkan ke hospital dan menerima beberapa jahitan di bahagian muka gara-gara insiden terbabit.
Pelaku bagaimanapun berjaya ditangkap dan didakwa serta merta. Kejadian lebih mengerikan berlaku kepada penyanyi Ava Max apabila seorang penonton yang berjaya lolos ke atas pentas menumbuk dan menampar penyanyi tersebut berulang kali.
Kejadian tersebut berlaku ketika Ava atau nama sebenarnya Amanda Ava Koci membuat persembahan di Los Angeles, AS.
Ava susulan kejadian itu mengalami calar di bahagian muka dan mendapatkan rawatan di hospital.
Tindakan berbahaya yang seakan menjadi trend dalam kalangan penonton konsert itu mencetuskan kebimbangan.
Penyanyi, Adele dan Charlie Puth antara yang bersuara tentangnya. Adele ketika persembahannya di Las Vegas baru-baru ini menyelar tindakan mana-mana penonton yang membaling barang berbahaya ke atas pentas.
Penyanyi asal United Kingdom itu menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak beretika dan perlu segera dihentikan.
“Hentikan tindakan membaling barang kepada artis di atas pentas. Penonton semakin hilang pertimbangan,” katanya.
Puth menerusi Twitter juga mengingatkan penonton konsert agar tidak membaling barang kepada penghibur. Katanya tindakan tersebut amat membahayakan dan perlu ditamatkan.
“Trend membaling barang kepada penghibur di atas pentas perlu ditamatkan. Ia amat biadab dan membahayakan. Saya merayu…,” tulisnya.