Dr. Alias tidak pertahan DUN Bukit Tunggal - Utusan Malaysia

Dr. Alias tidak pertahan DUN Bukit Tunggal

ALIAS RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak memberi bayangan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada  12 Ogos ini.

Menurut beliau, Pas wajar memberi peluang kepada muka baharu bagi mengekalkan kerusi Bukit Tunggal yang telah disandangnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008.

“Soal terpilih (calon) atau sebaliknya itu terpulang kepada pucuk pimpinan tetapi pada saya, kita (Pas) nak bagi peluang kepada orang muda pula bertanding PRN nanti.

“Saya sudah jadi Ahli Parlimen, jadi memang akan fokus kepada Parlimen yang lagi banyak cabaran. Jadi insya-Allah, DUN Bukit Tunggal ada calon baharu dari Pas.

“Apa pun tunggu pengumuman calon tidak lama lagi dan yang penting, kita (Pas) nak sapu bersih 32 kerusi DUN di Terengganu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Untuk rekod, Alias telah memenangi kerusi DUN Bukit Tunggal pada PRU 1999, 2008, 2013 dan terbaharu 2018 dengan majoriti 2,344 undi ke atas calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam PRU15 tahun lalu, beliau turut menang kerusi Parlimen Kuala Nerus mengatasi tiga calon lain termasuk penyandang, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali dengan majoriti 29,765 undi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri itu, Pas sentiasa memiliki ramai calon berkaliber dan berwibawa untuk diketengahkan.

Katanya, tidak timbul masalah bagi pembahagian kerusi dalam parti itu bagi PRN dan setiap ahli menyokong keputusan yang akan ditentukan Majlis Syura Ulama Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN