Double Trouble 2 bakal tawan Stadium Melawati - Utusan Malaysia

Double Trouble 2 bakal tawan Stadium Melawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELETAKKAN penanda aras bagi kejayaan konsert terdahulu mungkin dilihat bertepatan dengan perancangan yang bakal diterjemahkan.

Bukan mendabik dada, tetapi isunya lebih kepada keyakinan dan semangat untuk meneruskan perjuangan yang masih belum bernoktah.

Dilabelkan sebagai jenama besar dalam industri muzik rock tanah air, kumpulan Search dan Barbarik boleh dianggap ‘sifu’ oleh pelapis masa kini. 

Mereka bukan sahaja dilabelkan sebagai pelopor, malah seni dan idea yang diketengahkan sentiasa menjadi rujukan. Tidak hairanlah dua buah kumpulan ini masih kekal relevan walaupun terdapat ahli yang bertukar ganti.

Apabila dua gergasi rock ini menyatakan hasrat untuk bergabung atas satu pentas pastinya ia memberikan khabar gembira buat peminat. 

Bukan hadir sebagai penonton yang sekadar ingin pasang telinga mendengar lagu yang diperdendangkan, tetapi pastinya mahu mata menyaksikan aura hebat mereka. 

Itulah yang berlaku pada persembahan konsert Search ‘Rockin In Rooftop’ di Wisma Campbell pada Jun tahun lalu serta konsert Barbarik Pentas Keras yang berlangsung di Zepp pada Disember 2023 lalu.

Fenomena konsert tersebut masih lagi diperkatakan hingga kini. Malah ada yang melabelkan persembahan mereka cukup berjaya dan merupakan konsert terbaik tahun 2022.

Walaupun kumpulan Search yang diteraju oleh Denden (vokal), Kid (gitar), Noordin (gitar), Yan (bass), Minn (drum) dan Firdaus (keyboard) sudah melakukan beberapa siri persembahan pentas sebelum ini namun berkolaborasi bersama Barbarik dilihat cukup mengujakan kerana kali terakhir mereka berkongsi pentas adalah pada tahun 2005.

Bagi kumpulan Barbarik, Konsert Double Trouble 2 kali ini bakal menyaksikan kelainan berbanding edisi pertama terdahulu. Selain Jo Branko (gitar) dan Muss (vokal) yang memang dikenali, Barbarik juga bersandarkan kredibiliti anggota baharu yang dilihat cukup meyakinkan termasuklah Ruzaimie (bass), Ainol (drum) serta Adi (keyboard).

“Walaupun kali ini Double Trouble 2 hadir di bawah jenama Search dan Barbarik namun saya yakin peminat akan menerimanya kerana saya dan Muss adalah pecahan daripada konsert pertama.

“Pastinya kami akan realisasi dan memberikan buah tangan terbaik buat mereka kerana kami mahu jadikan konsert ini gah dan menjadi yang terulung dan terbaik untuk tahun ini.

“Bukan ingin menjanjikan bulan dan bintang, tetapi jika berjaya, insya-Allah akan ada lagi konsert kami selepas ini,” ujar Jo Branko.

Dalam konsert ini juga penonton akan dihidangkan dengan 10 buah lagu daripada kumpulan Search, 10 buah lagu daripada kumpulan Barbarik serta enam lagu duet.

Menurut penganjur Alpha Nation, Syed Jamil Fadaak menjelaskan pihaknya mensasarkan 10,000 peminat akan hadir memberikan sokongan pada konsert itu nanti. 

Bukan sekadar harga tiket mampu milik yang ingin dipromosikan, tetapi lebih menyaksikan kehebatan ‘dua gajah’ beraksi di atas pentas.

“Kita ada tempoh sebulan sahaja lagi jadi perlu perkemas serta lakukan persiapan rapi untuk konsert ini. Keutamaan kami adalah sedaya upaya berikan yang terbaik demi kepuasan penonton yang hadir. Jadi saya harap peminat akan datang beramai-ramai untuk support konsert ini,” ujarnya.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan oleh Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment dan Playmad Sdn Bhd serta urusan promosi oleh Mewah Event Management (MEM).

Tiket boleh dibeli melalui laman: www.ilassotickets.com atau hubungi tiket hotline di talian +6011 1329 7822 (Whatsapp Sahaja), berharga RM199, RM169, RM129, RM179, RM139, RM159 dan RM359 (VIP).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya