SHAH ALAM: Pesara tentera yang dikenali sebagai ‘doktor ganja’ dikenakan hukuman penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki dan menggunakannya, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Julia Ibrahim mendapati tertuduh, Amirudin @ Nadarajah Abdullah, bersalah selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak di akhir kes pembelaan dan mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadapnya.
Doktor ganja itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memiliki dan menanam pokok ganja serta memiliki ganja.
Bagaimanapun dia terlepas hukuman gantung di bawah Seksyen 39B(2) selepas mahkamah membenarkan pindaan 16 pertuduhan berhubung kesalahan mengedar ganja seberat 77.84 kilogram (kg) di bawah Seksyen 39B(1) kepada Seksyen 6 ADB.
Justeru, Amirudin berdepan 39 pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 6 (34 pertuduhan), dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) dan 39A(2) dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a).
Sementara hukuman yang dikenakan pula berdasarkan kesalahan di bawah Seksyen 6 kerana memiliki ganja; Seksyen 39A(1), memiliki 20 hingga 50 gram ganja; Seksyen 39A(2), memiliki lebih 50 gram ganja serta Seksyen 15(1)(a) iaitu memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri.
Oleh demikian, hakim menjatuhkan hukuman lima tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 6 dan 39A(1), sembilan tahun bagi Seksyen 39A(2) dan enam bulan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a).
Terdahulu peguam Sangeet Kaur Deo memohon mahkamah mempertimbang faktor kesihatan Amiruddin serta tujuan penggunaan ganja yang diambilnya, sebelum menjatuhkan hukuman.
“OKT (Orang Kena Tuduh) mengalami penderitaan selama enam tahun dan berada dalam penjara (tahanan ketika perbicaraan) walaupun mengalami kesihatan yang agak serius.
“Selain itu, sabit kesalahan ini juga menyebabkan tertuduh akan kehilangan faedah pencen sebagai seorang pesara tentera. Jadi, hukuman juga seharusnya bersifat sebagai satu pengajaran kepadanya,” katanya, hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Farida Raja Zaharudin meminta hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh dan memaklumkan penggunaan ganja bagi mengatasi masalah kesihatannya tidak boleh dijadikan alasan.
“Perbuatan tersebut menyalahi undang-undang negara. Pendakwaan memohon hukuman maksimum kerana tertuduh berdepan 39 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, mahkamah juga wajar pertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi OKT, walaupun merupakan kesalahan pertama dan tertuduh merupakan pesara tentera namun tidak boleh menjadi alasan dikenakan hukuman ringan,” ujarnya.
Hakim Julia menetapkan hukuman penjara bermula pada tarikh Amiruddin ditangkap pada 26 Mei 2017.
Sebelum ini, perbicaraan doktor ganja itu bermula pada 8 April 2019 dan diperintah membela diri pada Januari 2022 selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Seramai 22 saksi dipanggil, 17 di peringkat pendakwaan, lima pembelaan.
Selain Raja Zaizul Farida, pendakwaan sebelum ini dikendalikan oleh Aidatul Azura Zainal Abidin sementara Amiruddin pula diwakili Sangeet dan Pravin Mahentharan. – UTUSAN