Dipenjara sehari, denda RM8,000 komplot tipu tuntutan insurans - Utusan Malaysia

Dipenjara sehari, denda RM8,000 komplot tipu tuntutan insurans

Polis rasuah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cubaan menipu dalam tuntutan insurans bagi pembaikian kereta akibat kemalangan oleh dua lelaki termasuk seorang kakitangan awam mengundang padah apabila dipenjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh Erhanhazwan Hasim dan Ali Mohamad dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Hakim Datuk Anita Harun selepas kedua-duanya menukar pengakuan bersalah selepas pindaan pertuduhan pilihan.

Hakim turut memerintahkan penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama memperdayakan seorang wanita sehingga mendorongnya menyerahkan salinan kad pengenalan dan geran kereta dengan mempercayai tertuduh membaiki kenderaan itu tanpa tuntutan insurans.

Perbuatan itu dilakukan mereka di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam pada 23 Mac 2021. 

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang mana sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 417 kanun sama iaitu penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, Erhanhazwan, 38, dan Ali, 35, menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza milik seorang wanita yang rosak kemek di bahagian fender akibat kemalangan dengan Toyota Hilux. 

Kemudian mereka merancang kemalangan baharu melibatkan tiga buah kenderaan termasuk dua milik rakan Ali sebelum membuat tuntutan palsu dengan seorang pemilik bengkel sebuah kenderaan. 

Bagaimanapun, mereka yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringan kerana menanggung antara empat dan lima orang anak selain isteri masing-masing.

“Kami cukup kesal dan insaf. Ini kali pertama dan terakhir melakukan kesalahan begini,” jelas mereka.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman berat kerana pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh adalah bersifat pilihan.

“Ini juga mengambil kira kepentingan awam terhadap perbuatan dilakukan tertuduh itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya