KANGAR: Kerajaan negeri mengarahkan setiap agensi agar dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan semua kawasan operasi mereka berada dalam keadaan bersih dan bebas pembiakan nyamuk aedes.
Langkah berkenaan termasuk membabitkan kawasan-kawasan konsensi kontraktor yang berada di bawah agensi terlibat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, masyarakat juga perlu memberi perhatian kepada aspek kebersihan sama ada di dalam mahu pun luar rumah dengan memastikan tiada sebarang takungan yang boleh menjadi tempat pembiakan aedes.
“Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam bagi memastikan mereka mendapat rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi demam denggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kes denggi di Perlis membimbangkan apabila sebanyak 443 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 16 kes dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyaksikan peningkatkan sehingga 2668.7 peratus.
Peningkatan tersebut adalah yang tertinggi direkodkan di negara ini dengan satu kematian akibat komplikasi denggi tersebut dilaporkan di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan pula berkata, mengikut data sehingga 1 Julai tahun ini, terdapat peningkatan mendadak kes demam denggi di Perlis iaitu sebanyak 443 kes berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya yang merekodkan 16 kes.
“Setakat hari ini juga, terdapat dua kematian direkodkan disebabkan demam denggi dengan 43 lokaliti dikenal pasti di seluruh Perlis,” katanya.
Ujarnya, antara lokasi hotspot yang dikenal pasti di Perlis adalah membabitkan kawasan Felda Rimba Mas, Padang Besar, Taman Jali, Kangar dan Taman Melati Indah, Beseri.
“Berdasarkan laporan diterima, kebanyakan kes direkodkan ini adalah membabitkan kawasan kediaman yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, masyarakat perlu memberi kerjasama kapada Jabatan Kesihatan negeri bagi membuat kawalan nyamuk aedes di rumah masing-masing dalam memastikan penularan wabak dapat dikawal dengan sebaiknya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mengambil pendekatan untuk mendidik masyarakat terlebih dahulu dalam memastikan persekitaran kediaman mereka bersih sebelum mengambil tindakan tegas selepas ini.
“Mereka harus pastikan bekas-bekas air atau pasu sentiasa dibersihkan dan tiada takungan bagi menggelakkan nyamuk aedes ini membiak,” katanya.-UTUSAN