IPOH: Pemilihan Ipoh sebagai lokasi terbaharu program DE Rantau bakal merancakkan ekonomi domestik dan pelancongan di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana bandar raya itu memiliki pelbagai tarikan untuk diketengahkan sekali gus menarik kehadiran nomad digital dari seluruh dunia.
Katanya, perkembangan terbaharu itu juga akan menyemarakkan lagi sektor pelancongan negeri tambahan lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh dan Tahun Melawat Perak pula pada tahun hadapan.
“Di Ipoh, banyak lokasi dan tarikan yang boleh diketengahkan. Malah, sekarang pun, hampir setiap hari pelancong dari Singapura datang hanya untuk makan, selepas itu pulang.
“Itu adalah contoh (tarikan) dari aspek makanan selain dikelilingi batu kapur, sejarah dan kawasan pelancongan. Tarikan ini sudah pasti memberi manfaat kepada warga Ipoh terutama dari aspek ekonomi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran De Rantau @ Ipoh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz; Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi.
Pulau Pinang, Langkawi dan Kuala Lumpur dipilih menjadi lokasi rintis bagi fasa pertama program DE Rantau diikuti Melaka pada Mac lalu.
Menurut Saarani, berdasarkan rekod tahun lalu, Perak antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 14.6 juta pelawat domestik.
“Menjelang tahun hadapan, kerajaan negeri mensasarkan 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara berkunjung ke Perak.
“Inilah masa terbaik untuk kita bangkit semula memperkasakan sektor pelancongan dengan menyediakan sesuatu yang lebih bermakna dalam meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sedia berganding bahu dengan MDEC dalam memodenkan dan mendigitalkan perniagaan rakyat tempatan. – UTUSAN