CYBERJAYA: Calon Parti Utama Rakyat, Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah, 58, kembali mencuba nasib apabila bertanding untuk kali kedua di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Daud adalah antara calon paling awal hadir di pusat penamaan di Dewan Semarak yang hanya mula dibuka pukul 9 pagi ini.
Beliau yang juga peguam berkata, ini adalah percubaan kali keduanya untuk bertanding selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU15) bagi kerusi Parlimen Sepang.
“Seperti sebelum ini, saya kekal menawarkan manifesto untuk tidak mengambil gaji jika terpilih menjadi wakil rakyat di DUN ini.
“Saya yakin dapat memenangi kerusi kali ini kerana sudah turun ke kawasan sejak empat tahun lalu selain menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu memerlukan,” katanya ketika ditemui, pagi ini.
Katanya, beliau tetap mencurahkan bakti dan meneruskan khidmat biarpun kalah teruk pada PRU15 lalu.
Setakat ini, DUN Dengkil dijangka menerima persaingan empat penjuru masing-masing dari wakil Barisan Nasional (Barisan Nasional), Noorazli Said; Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional); Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia). – UTUSAN