BAGAN DATUK: Mesej lama yang ditularkan semula dalam media sosial hari ini kononnya Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia, tidak benar.
Malah, penyanyi veteran itu ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau masih bernafas walaupun mengalami masalah kesihatan.
Menurutnya, tular mesej beliau sudah meninggal dunia bukanlah asing baginya kerana sebelum ini pun mesej yang sama pernah ditularkan dalam media sosial.
“Saya masih bernafas, masih sihat walaupun kesihatan agak terganggu sedikit. Saya macam biasa saja, saya makan apa yang sedap, ikan kegemaran saya ikan tongkol, hari ini isteri saya masak. Dia menjaga saya pagi, malam, waktu tidur dan sekarang dia sentiasa berada di samping saya.
“Saya memang tak sihat, kebas kaki dan tangan, biasalah sakit orang tua. Hari ini ada orang datang ke rumah saya, mereka nak menziarahi sebab dapat mesej mengatakan saya sudah meninggal dunia, mereka datang bertanyakan pada isteri saya pagi tadi.
“Setiap kali saya masuk hospital, ada pihak yang kata saya meninggal dunia, sehingga ada yang datang ziarah di rumah. Berapa kali manusia mati agaknya?, katanya ketika dihubungi.
Daud Kilau mengakui agak terkilan dengan mesej di media sosial mengatakan beliau sudah meninggal dunia yang berulang kali disebarkan.
“Kepada yang kata saya dah mati tu ,harap datanglah berjumpa dengan saya, kita bersalaman, berkenalan, tidak salah. Datanglah segera jumpa saya minta maaf, mana tahu kalau betul betul Allah ambil nyawa saya, tak sempat nak bercakap dengan saya, minta maaf pada saya. Nanti tak payah nak jumpa di ‘sana’ nanti, alangkan di dunia pun payah nak berjumpa apatah lagi di ‘sana’ nanti,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Datin Rohani Awang Ngah berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon bertanyakan kesahihan mesej yang tersebar mengenai suaminya yang dikatakan sudah meninggal dunia.
Katanya, beliau memberitahu mereka suaminya sihat malah ketika itu mereka sedang bersarapan.
“Disebabkan mesej palsu itu anak saudara saya di Kuala Lumpur menangis tersedu-sedu kerana menyangka memang benar suami saya sudah meninggal dunia. Saya tanya kenapa dia menangis, dia kata betulkah Pak Su (Daud Kilau) meninggal dunia, saya jawab Pak Su sedang makan.
“Selain itu, Datuk DJ Dave juga menghubungi bertanyakan perkara yang sama, saya banyak terima panggilan telefon sehingga saya tak sempat jawab.
“Malah ada jiran-jiran, kawan-kawan dan peminat yang datang ke rumah kami dalam keadaan bersedih kerana menyangka mesej berkenaan benar,” katanya.
Terdahulu, hari ini tersebar mesej lama dalam media sosial kononnya Daud Kilau meninggal dunia. – UTUSAN