Dapat watak jahat selepas 20 tahun jadi pelakon - Utusan Malaysia

Dapat watak jahat selepas 20 tahun jadi pelakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir dua dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air, barulah pelakon, penyanyi, pengarah dan usahawan Zizan Razak ditawarkan watak antagonis.

Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 39, teruja menyarungkan jersi penjahat buat kali pertama menerusi filem terbaharunya Merewang Keluarga Pak Awang arahan Adlin Aman Ramlie. 

Juara Maharaja Lawak Mega 2012 itu merasakan sudah masanya para pelawak di Malaysia diberi kepercayaan untuk membawakan watak yang lebih serius dan mencabar, bukan hanya sebagai tukang buat kelakar dalam cerita semata-mata.

“Bila orang tengok saya kelakar, pengarah dan penulis skrip tidak mahu ‘meneroka’ bakat saya dan pelakon yang lain. 

“Jika seorang pelakon menjadi hero, dia letaklah seseorang itu bawa watak hero sampai ke sudah tanpa memberi peluang untuknya membawakan watak lain seperti ayah, pondan atau lain-lain. 

“Begitu juga dengan pelawak. Sebelum ini mereka selalu diletakkan sebagai tukang kelakar sahaja dalam sesebuah cerita tanpa mengangkatnya sebagai hero,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di majlis sidang media filem Merewang Keluarga Pak Awang baru-baru ini. 

Zizan optimis untuk melihat industri seni berkembang lebih kehadapan asalkan pengarah dan penulis skrip di Malaysia lebih terbuka meletakkan kepercayaan kepada pelakon membawakan karakter di luar kebiasaan mereka.

Saya perjuangkan untuk jadikan industri kita seperti Hollywood. Jika kita lihat pelawak seperti Ryan Reynolds, dia juga boleh membawakan watak hero dengan jayanya kerana diberi peluang.

“Bila peluang tidak diberikan, maka kita tidak nampak potensi para pelakon ini. Saya pernah bincangkan perkara ini untuk mencorakkan industri dengan benda-benda baru. 

“Perjuangan ini saya buat  untuk adik-adik saya di belakang agar kita dapat gunakan kreativiti dan bakat mereka yang sebenarnya,” tambahnya.

Menurutnya, sinergi ini perlu datang serentak baik dari kaca mata pengarah dan juga pelakon. Pengarah yang baik akan dapat membentuk dan menjelmakan karakter yang dimahukan tak kiralah siapapun pelakonnya. 

“Kalau seseorang itu boleh mengarah dan membentuk pelakon menjadi karakter yang diingini, maka dia benar-benar pengarah yang bagus.

“Namun begitu, pengarah juga kena ada pelakon yang bagus. Kalau pelakon tak memahami kerjaya mereka, itu juga akan menimbulkan masalah.

“Jadi, apa yang penting ialah kerjasama. Pengarah kena berani menawarkan sesuatu watak dan bertanya kepada pelakon adakah mereka mampu atau tidak untuk membawakan karakter itu,” tambahnya.

Tidak pernah ‘tangkap muat’

ZIZAN tidak pernah sambil lewa menerima apa-apa kerja. Dia akan bertanya, berbahas dan mempersoal sesuatu watak kepada pengarah dan penulis skrip sebelum menerima apa-apa tawaran. 

Bagi Zizan, penonton layak menonton sebuah hasil kerja yang bagus daripadanya dan bukan sekadar tangkap muat.

“Saya pengkritik untuk saya sendiri. Mungkin bagi penonton lakonan saya sudah cukup bagus namun di  mata saya akan selalu ada perkara yang boleh diperbaiki. 

“Akhir-akhir ini saya lagi memilih tawaran. Saya akan bersoal jawab dengan penulis skrip dan pengarah tentang sesuatu karakter kerana saya tak mahu ia sekadar tangkap muat,” tambahnya. 

Menurut Zizan, Merewang Keluarga Pak Awang tidak hanya berjaya memberikannya sebuah watak yang berbeza. 

Malah jalan cerita yang mengangkat amalan rewang dalam masyarakat Malaysia juga menjadi sebab utama anak kelahiran Terengganu itu bersetuju dengan projek ini.

“Saya membawakan watak Dol dalam cerita ini yang bukan sahaja seorang berpengaruh di kampung malah dia juga seorang yang sukar melupakan cintanya. 

Saya suka cerita yang kita tidak akan nampak di Hollywood seperti tradisi rewang. Bila orang luar tengok filem ini mereka faham bahawa inilah budaya kita. 

“Apa yang ditampilkan di dalam filem ini mungkin pernah berlaku di majlis kahwin sesiapa. Jadi secara tidak langsung mereka dapat mengimbau peristiwa itu,” jelasnya. 

Merewang Keluarga Pak Awang akan ditayangkan di Astro First bermula 15 Julai 2023. Selain Zizan Razak, filem ini diperhebatkan lagi dengan lakonan yang meninggalkan kesan dari Sabri Yunus, Adriana Adnan, Fabian Loo, Watie Sadali, Emelda Rosmila dan Emma Sofea.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya