DAP tidak pernah bantah usaha bantu Melayu-Islam

DAP tidak pernah bantah usaha bantu Melayu-Islam – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Bangi, Selangor. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: DAP tidak pernah sekali-kali membantah keputusan kerajaan untuk membantu orang Melayu dan Islam, malah menyokong usaha itu demi kepentingan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha terbaharu untuk menyelesaikan hutang Felda di samping peringkatan peruntukan untuk agama Islam juga tidak pernah dibantah oleh anggota Kabinet daripada DAP.

“Tak habis mantera mereka DAP, temberang sana sini. Kita tambah peruntukan untuk Islam, tiada bantahan pun, malah beri kerjasama.

“Malah ketika saya bentang dalam Kabinet, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sudah tentu setuju, tetapi Anthony Loke pun sokong,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar mahu semua jentera sama ada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama demi kemenangan pada 12 Ogos nanti bukan sahaja di Selangor malah di lima negeri lain.

Beliau menegaskan, usaha itu amat penting agar tidak membiarkan negara ditadbir golongan pelampau dan pengkhianat serta pihak suka menabur fitnah yang akhirnya menjejaskan kestabilan negara.

Anwar, justeru itu mahu tarikh 12 Ogos menjadi detik terakhir untuk menjatuhkan karier politik pengkhianat.

Katanya, sepanjang lapan bulan menerajui kerajaan, negara telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi malah keyakinan pelabur mula bertambah baik.

“Saya boleh terima (kritikan) dasar ekonomi tak betul, tapi jangan dengan fitnah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya