Celebrity: Meludah perangai palsu ‘Instafamous’ - Utusan Malaysia

Celebrity: Meludah perangai palsu ‘Instafamous’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI ini kita akan membincangkan sebuah siri drama 12 episod mengenai media sosial yang baru sahaja dipaparkan di Netflix bertajuk Celebrity. 

Drama ini kekal menduduki 10 tangga teratas dalam carta naskhah paling banyak ditonton di Malaysia. 

Celebrity ditulis oleh Kim Yiyoung dan diarahkan oleh Kim Cheol-kyu, pengarah yang sama menghasilkan drama kesukaan saya beberapa tahun lepas iaitu Flower of Evil. 

Di Korea Selatan, Celebrity adalah panggilan kepada  figura popular yang terkenal di media sosial. Kalau di Malaysia, mereka dipanggil pempengaruh, ‘instafamous’ dan ‘influencer’. 

Kewujudan media sosial membuatkan wujudnya kelas dalam masyarakat berdasarkan kepada populariti dan jumlah pengikut di laman sosial. 

Semakin ramai pengikut, anda semakin popular. Bila semakin popular, anda akan semakin berkuasa. Bila anda berkuasa, anda akan diberi layanan kelas pertama. 

Namun dalam Celebrity, jenis pempengaruh yang ditunjukkan sangat spesifik. Mereka ialah golongan orang kaya yang terkenal sebab suka bermegah, punya selera dalam fesyen dan sekumpulan wanita cantik yang menggelar diri mereka ‘Gabin Society’. 

Pada dua episod awal, Celebrity memperkenalkan watak utamanya Seo A Ri seorang perempuan yang hidup miskin sejak ayahnya jatuh muflis dan meninggal dunia. 

Ari menjual barangan kosmetik dari rumah ke rumah. Pelanggannya adalah orang gaji di rumah orang ternama. 

Sehinggalah suatu hari dia bertemu dengan Min-hye, rakan sekelasnya yang kini merupakan seorang influencer terkenal Korea Selatan dengan jumlah pengikut melebihi 100,000. 

Bagi memancing Ari, Minhye kononnya menjual produk kosmetik Ari di media sosialnya sehingga laris. Ketika itulah Ari mula merasakan betapa besarnya pengaruh dalam talian. 

DUNIA MAYA, SEGALA YANG ‘SUPERFICIAL’ 

Ari kemudian perlahan-lahan masuk ke dalam dunia para pempengaruh. Tidak susah sebenarnya untuk saya memahami apa yang dirasakan Ari kerana sekitar tiga tahun sudah, saya juga pernah berkawan dan berada dalam kalangan orang yang menggelar diri mereka instafamous. 

Hidup mereka penuh tajaan jadi tidak mustahil jika ada berlambak barang, produk bersusun di rumah instafamous menunggu tarikh untuk dipromosi. 

Pendapatan bulanan mereka juga tidak main-main. Saya ada seorang kawan yang dengan mudah mendapatkan RM10,000 sebulan hanya dengan promosi produk di Instagram, dilantik menjadi duta kempen. 

Demi mengekalkan karier sebagai pempengaruh, mereka perlu berlawan atau berkawan dengan pempengaruh yang lain untuk kekal popular dan kekal relevan kerana setiap hari ada sahaja pempengaruh baru yang lahir. 

Di sinilah lohong hitam dunia media sosial sebuah budaya yang digelar cendekiawan sebagai culture of social comparison. 

Media sosial membuat seseorang dahagakan perhatian dan mula membandingkan gaya hidup yang ditunjukkan di laman sosial serta jumlah pengikut mereka dengan orang lain. 

‘Gabin Society’ menunjukkan bagaimana pempengaruh saling menjadi parasit dan lintah dengan menumpang populariti pempengaruh lain. 

Di laman sosial, mereka terlihat akrab, mesra antara satu sama lain. Namun hakikatnya masing-masing saling menyemak jumlah pengikut berharap jangan ada sesiapa yang mendahului populariti mereka. 

SINDIRAN BERJAYA 

Celebrity tidak hanya menyindir instafamous, tapi juga mengkritik pengikut yang laman sosial yang membiarkan diri mereka mencintai orang yang palsu. Permainan visualnya juga cukup cantik dan mengesankan terutama babak dimana Ari di dalam kereta api dan Han Junkyun di dalam kereta mewahnya berjalan ke laluan yang sama. 

Seolah-olah menunjukkan Junkyun anak orang kaya boleh sampai ke tujuan lebih cepat berbanding Ari yang miskin di dalam gerabak kereta api. 

Celebrity adalah siri drama yang wajar ditonton untuk kita menilai semula adakah selama ini kita menggunakan media sosial, atau tanpa sedar kita sedang menganutinya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya