CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan komitmen dan ketersediaan untuk memastikan kesalinghubungan digital di kawasan Felda seluruh negara dapat dipertingkatkan.
Pengerusinya,Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, langkah itu antaranya bagi merancakkan pembangunan ekonomi peneroka Felda dan penduduk setempat secara keseluruhannya.
“Kita akan mengadakan bengkel bersama-sama dengan Felda, kemudian kita juga akan tingkatkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan memperkenalkan konsep pertanian pintar,” katanya menerusi sidang akhbar selepas lawatan kerja Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di SKMM hari ini.
Sementara itu, sebagai Pengerusi Felda yang baharu, Ahmad Shabery berharap dapat membangunkan inisiatif Felda 5.0 bagi melonjakkan lagi keupayaan dan kelestarian tanah rancangan itu untuk memenuhi keperluan generasi kelima pada masa akan datang.
Jelasnya, isu utama yang perlu diberi perhatian ketika ini adalah mengenai kesalinghubungan rangkaian Internet yang munasabah di seluruh kawasan Felda termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Dulu orang cakap Felda memerlukan infrastruktur seperti jalan, api, air dan sebagainya tapi itu merupakan antara perkara yang dah diselesaikan tapi isu terbesar sekarang adalah bercakap mengenai kesalinghubungan rangkaian Internet yang munasabah.
“Tadi saya terima taklimat, hampir semua kawasan Felda sudah dilengkapi dengan kemudahan 4G tetapi saya berkongsi dengan pihak SKMM mengenai rungutan yang diterima tentang pengalaman, ada 4G tapi kalau ramai orang ada tempat tertentu walaupun nampak ‘full bar’, capaiannya perlahan,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Shabery turut menekankan mengenai keperluan dan kepentingan seluruh kawasan Felda untuk mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi bagi memangkin ekonomi penduduk setempat.
“Mereka ada pelbagai produk seperti keropok, kerepek dan homestay tetapi nak pasarkan barangan mereka menjadi agak terhad kerana capaian Internet yang lemah,” katanya. – UTUSAN