Calon tunggal wanita PKR Pulau Pinang mahu pastikan tiada isu keciciran pelajar - Utusan Malaysia

Calon tunggal wanita PKR Pulau Pinang mahu pastikan tiada isu keciciran pelajar

NURHIDAYAH Che Rose merupakan satu-satunya calon wanita PKR Pulau Pinang yang akan bertanding di kerusi DUN Sungai Bakap pada PRN negeri itu, 12 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Satu-satunya calon wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose yang diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mahu memastikan tiada isu keciciran dalam kalangan murid dan pelajar sekolah berlaku di DUN berkenaan.

Nurhidayah, 32, yang merupakan Ketua Wanita Keadilan negeri berkata, pendidikan merupakan soal asas dalam kehidupan dan tidak sepatutnya isu keciciran masih berlaku dalam kalangan murid dan pelajar pada masa ini.

”Saya tidak akan biarkan isu keciciran murid dan pelajar berlaku di DUN Sungai Bakap memandangkan pendidikan adalah penting untuk setiap insan.

”Kalau boleh isu keciciran dalam pendidikan kita mahu banteras dan pastikan setiap anak-anak di DUN Sungai Bakap mendapat peluang pendidikan yang sempurna dan mampu menjadi pelajar yang cemerlang,” katanya ketika ditemui di Wisma Keadilan, di sini baru-baru ini.

PKR yang akan bertanding 13 kerusi DUN Pulau Pinang menampilkan lapan muka baharu iaitu Zainuddin Mohd. (Pinang Tunggal); Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar); Johari Kassim (Seberang Jaya); Rohsidi Hussin (Penanti); Lee Boon Heung (Kebun Bunga); Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof. Dr. Mohd. Abdul Hamid (Batu Maung) selain NUrhidayah sendiri.

Menurut Nurhidayah yang juga Pegawai Khas Hal Ehwal Komuniti dan Wanita kepada Menteri Pendidikan, isu-isu melibatkan keciciran pelajar itu juga sering dibangkitkan di Parlimen.

”Antara punca keciciran murid dan pelajar adalah disebakan kerana kemiskinan.

“Disebabkan itu fokus utama saya sebagai calon PKR di DUN Sungai Bakap ialah membantu pengundi dalam soal pembangunan masyarakat yang seimbang dari segi sosial dan ekonomi,” katanya.

Selain itu, ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau melihat DUN Sungai Bakap berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat bagi sumber agro pertanian moden bagi Pulau Pinang.

”Agro pertanian moden ini dapat menjana pembangunan ekonomi desa serta memberikan pendapatan berterusan kepada penduduk di luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sebagai calon wanita juga dia akan terus memperjuangkan hak-hak wanita terutama dalam politik agar lebih ramai suara wanita didengari dalam arena politik.

”Jika boleh kita mahu lebih ramai calon wanita ditampilkan, isu penambahan calon wanita telah lama kita perjuangankan dan ia akan terus diperjuangkan.

”Saya percaya pucuk pimpinan parti memberi peluang kepada saya untuk membawa suara-suara wanita di luar sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya