SEPANG: Kelazimannya calon padat jadual sesi beramah mesra dengan masyarakat tempatan di sekitar pekan, balai raya atau program ceramah setiap kali berlaku pilihan raya.
Bagaimanapun lain pula calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Sungai Pelek, Lwi Kian Keong mencipta kelainan menyantuni penduduk bergotong-royong membersihkan kubur.
Wakil daripada DAP itu malahan tidak kekok bercampur gaul dengan mereka selama lebih sejam di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah Paya Salak di sini hari ini.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana mereka turut mengenali rapat saya, malahan keluarga saya dan saya sendiri amat akrab dengan penduduk sejak dulu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Program yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu melibatkan kira-kira 30 peserta Sukarelawan Prihatin Sahabat Komuniti Desa (Skod) Kemas Parlimen Sepang.
Kian Keong yang fasih berbahasa Melayu itu diiringi oleh Pengerusi Skod Kampung Lembah Paya Salak, Muhammad Hydier Hamid yang juga aktivis sebuah badan belia tempatan.
Meskipun ini kali pertama beliau bertanding, Kian Keong, 48, yang juga merupakan anak tempatan di Salak, bukan asing dengan masyarakat di sini, malah pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung Baru Salak dan Ahli Majlis Perbandaran Sepang.
Kian Keong bakal ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali dan calon bebas, Datuk Seri Nageswaran Ravi.
Mengulas mengenai peluang bagi memenangi kerusi itu, Kian Keong setakat ini bersyukur dengan kerjasama erat kesemua parti komponen Kerajaan Perpaduan, malah optimis para penyokong tegar dan ahli UMNO di Sungai Pelek setia teguh dengan pendirian parti berkenaan.
“Penerimaan sebahagian besar pengundi juga amat bagus kepada kita tetapi saya tetap bekerja keras dalam masa kurang 14 hari ini demi memastikan kemenangan,” katanya. – UTUSAN