Cadang wajibkan simpanan pendidikan buat semua pelajar - Utusan Malaysia

Cadang wajibkan simpanan pendidikan buat semua pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi mencadangkan kerajaan me­rangka pelaksanaan komitmen yang harus dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga dalam mewajibkan simpanan pendidikan bagi anak-anak mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, simpanan pendidikan sebaiknya perlu dilakukan pada tahun sejurus selepas lahirnya anak tersebut.

Katanya, walau bagaimanapun cadangan tersebut perlu diteliti bagaimana untuk dilaksanakan kerana perlu mengambil kira pendapatan isi rumah atau pasangan suami isteri yang berbeza-beza dengan jumlah anak yang ada.

“Jika adanya pelaksanaan kewajiban tersebut di masa depan, sudah pasti akan mendapat tentangan daripada penjaga,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau yakin setiap pasangan sudah mempunyai perangkaan dan perancangan sendiri dan perkara itu adalah susah untuk dipaksa bagi mengikuti cada­ngan itu.

Justeru beliau menyarankan agar cadangan tersebut boleh dikaji badan profesional terlebih dahulu, bagi dapat membuka jalan buat keluarga berpendapatan rendah untuk tidak berasa beban dalam membuat simpanan pendidikan bagi anak mereka.

Terdahulu beliau mengulas isu mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menolak tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disebabkan faktor kewangan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dari 2020 sehingga 2022 sebanyak 51 peratus pelajar lepasan SPM menolak tawaran pengajian ke IPTA.

Difahamkan antara faktor yang mempengaruhi tindakan keputusan pelajar berkenaan adalah disebabkan masalah kewangan dan tidak mahu terikat dengan pinjaman.

Dalam pada itu, Nungsari berkata, buat waktu ini, pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke IPTA namun mempunyai kekangan kewangan boleh merujuk kepada produk yang ditawarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu beliau menambah agar badan kebajikan kerajaan mahupun bukan kerajaan se­perti Baitulmal dan zakat sepatutnya memainkan pera­nan membantu golongan pelajar miskin yang berpotensi menyam­bung pelajaran turut membantu dalam isu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN