Buruh Bangladesh tak mengaku salah rasuah polis RM195 - Utusan Malaysia

Buruh Bangladesh tak mengaku salah rasuah polis RM195

Rasuah
MOHIUDDIN (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen untuk menghadapi pertuduhan cubaan merasuah seorang anggota polis, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang buruh binaan warga Bangladesh berdepan hukuman penjara 20 tahun apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan cuba merasuah anggota polis sebanyak RM195, tahun lalu.

Tertuduh, Md. Mohiuddin, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan rasuah sebanyak RM195 kepada anggota polis berpangkat Lans Koperal dari unit kereta peronda Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tawaran terbabit supaya tertuduh tidak disaman kerana meletakkan kenderaan di atas garisan kuning di tepi jalan KLIA kira-kira pukul 5.10 petang, 30 Januari tahun lalu.

Justeru, buruh berkenaan dituduh dilakukan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Amirah Muhammad Ali kemudian menawarkan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri  ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Mohiuddin yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai darah tinggi selain isterinya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 bersama dua penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan sebelum menetapkan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Ogos depan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya