Bunuh jiran: Lelaki dihukum penjara 38 tahun - Utusan Malaysia

Bunuh jiran: Lelaki dihukum penjara 38 tahun

MOHAMAD Shaharudin Zakaria (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh jirannya, tiga tahun lalu. - UTUSAN//ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas terlepas hukuman gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 4 Mei 2020.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid, 77, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Abdul Wahab memberitahu, hukuman terhadap tertuduh diputuskan selepas mahkamah memberi pertimbangan ke atas penyataan impak mangsa, fakta-fakta kes, keterangan saksi-saksi dan faktor-faktor untuk memberatkan dan meringankan hukuman berlandaskan kepada prinsip undang-undang berkaitan hukuman.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 38 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada hukuman rotan dikenakan kerana tertuduh berusia melebihi 50 tahun.

“Semua barang-barang kes kecuali dokumen diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, M. Saravanan.

Sementara itu, suasana pada prosiding itu bertukar sayu apabila anak mangsa, Hawa Isa, 48, tampil dan memberikan penyataan impak daripada keluarga mangsa kepada hakim.

Menurut wanita itu, pembunuhan ibunya amat memberi kesan kepada mereka sekeluarga tambahan lagi kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan.

“Kami (adik-beradik) rapat dengan mak terutama anak saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), sampai sekarang jika dia ingat opahnya, dia akan mengamuk.

“Semasa kejadian itu baru berlaku, orang kampung cakap dan tuduh mak macam-macam walaupun mak tidak bersalah.

“Saya harap apa yang berlaku pada mak, apa yang dia buat dengan jerut dan pijak mak, mendapat hukuman yang setimpal,” katanya.

Media pada 4 Mei 2020 melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan separuh badan tenggelam dalam parit kira-kira 400 meter daripada rumah suspek.

Penemuan mayat wanita itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga penduduk di kampung sama.

Siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian itu berlaku, terjadi pertengkaran antara kedua-dua mereka menyebabkan mangsa dipukul dan dipijak sebelum dicampak ke dalam parit.

Mohamad Shaharudin pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 12 Mei 2020.

Seramai 13 saksi pihak pendakwaan dan satu saksi pihak pembelaan tampil sepanjang perbicaraan berlangsung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya