Bunuh di lebuh raya, Wei Liang diperintah bela diri - Utusan Malaysia

Bunuh di lebuh raya, Wei Liang diperintah bela diri

Bunuh
YEW Wei Liang dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan akhir pendakwaan pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas juruteknik teknologi maklumat (IT) diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kes bunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada Ogos empat tahun lalu.

Yew Wei Liang, 45, diperintah bela diri oleh Hakim, Julia Ibrahim yang memutuskan demikian selepas mendapati keterangan saksi-saksi bahawa tertuduh melakukan provokasi dengan menyerang mangsa.

Julia dalam penghakimannya berkata, kematian Syed Muhammad Danial adalah disebabkan kecederaan yang dialaminya berpunca daripada tindakan tertuduh berniat mencederakan si mati.

“Kematian si mati adalah disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya. Kecederaan si mati disebabkan oleh perbuatan OKT (orang kena tuduh) dan OKT menyebabkan kecederaan tersebut dengan niat mencederakan simati yang memadai untuk menyebabkan kematian dalam keadaan biasa.

“Selain itu, dalam kes ini juga, OKT juga mengemukakan pembelaan pengecualian, beban pembuktian yang dibangkitkan menerusi perbuatan OKT terhadap simati adalah satu hak untuk mempertahankan diri kecederaan tubuh yang menyebabkan kematian,” katanya, hari ini.

Malah, tambahnya pembelaan yang dikemukakan Wei Liang dalam keterangannya pada perbicaraan sebelum ini berhubung hak mempertahankan diri tidak relevan selepas ancaman dipatahkan apabila mangsa melarikan diri.

Menurut Hakim Julia, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, wujud elemen provokasi yang dimulakan oleh tertuduh sendiri yang menyerang Syed Muhammad Danial di tempat kejadian.

“Mengenai hak untuk mempertahankan diri, mahkamah mendapati OKT bertindak melebihi hak mempertahankan diri apabila berterusan melanggar si mati walaupun ancaman dipatahkan dan si mati sedang melarikan diri.

“Oleh demikian, OKT diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Mahkamah kemudian memberi tiga pilihan kepada Wei Liang pada peringkat pembelaan iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Kedua, memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pendakwaan dan ketiga pula berdiam diri.

Bagaimanapun, Wei Liang memohon untuk berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu sebelum memaklumkan keputusan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pembelaan pada 16 dan 17 Ogos depan.

Seramai 20 orang saksi dan 65 eksibit berupa barangan kes dan dokumen dikemukakan sepanjang prosiding bermula 27 Oktober 2021 yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara Wei Liang diwakili peguam, Wee Chong Keong.

Terdahulu, Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya