Bukan demanding, tetapi selektif - Gambit Saifullah - Utusan Malaysia

Bukan demanding, tetapi selektif – Gambit Saifullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik genap 17 tahun Gambit Saifullah, 38, bergelar seorang pelakon.

Menghampiri dua dekad, anak jati Kuala Lumpur ini terus bertahan meskipun industri perfileman dan drama tempatan menyaksikan kemunculan aktor-aktor baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Setiap pelakon ada kelebihan tersendiri yang membuatkan mereka bertahan lama. Gambit, sewaktu menjayakan sesi fotogra dan wawancara untuk Pancaindera, berkongsi formula yang membolehkan dia terus relevan.

“Bagi saya, tak sukar untuk jadi relevan. Ada beberapa perkara yang seorang pelakon itu kena lakukan.

“Ia bukan tentang mutu lakonan semata-mata. Tetapi juga soal pembawakan diri dan cara layanan kita terhadap orang lain.

“Saya kagum dengan cara sahabat saya, Redza Rosli melayan peminatnya. Darinya, saya belajar banyak perkara.

“Saya anggap peminat penting, tak lupakan mereka dan sebolehbolehnya mahu terus kekal berhubung di media sosial,” katanya.

Gambit sedar dia tidak lahir dalam kalangan generasi ‘di hujung jari’ dan mengakui agak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan media sosial.

“Tetapi itu bukan alasan untuk saya mengabaikan media sosial yang ibarat pen dan kertas zaman sekarang.

“Saya tahu ia adalah platform yang boleh mendekatkan saya dengan peminat. Maka saya dapatkan bantuan dan belajar tentangnya,” kata Gambit.

TELITI, TENGOK SKRIP

GAMBIT atau nama sebenarnya, Mohd. Saifullah Rosli amat teliti dan cerewet terhadap tawaran lakonan yang diterimanya.

Pada sesetengah orang, mungkin dia dianggap demanding. Tetapi Gambit menolak tanggapan tersebut.

“Saya utamakan skrip. Sebelum terima tawaran lakonan, saya baca skrip terlebih dahulu, kemudian saya ambil tahu siapa barisan pelakon terlibat dan latar belakang syarikat produksi terbabit.

“Mungkin orang berpandangan saya demanding. Itu sama sekali tidak benar. Saya cuma seorang pelakon yang teliti dan selektif.

“Saya tak akan terima tawaran yang saya sendiri tak pasti saya boleh buat atau tidak,” jelasnya.

Kongsi Gambit, drama bersiri terbaharu lakonannya, Alter-Naratif yang ditayangkan di platform penstriman Viu, disifatkan antara yang berlainan dan memenuhi kriteria dicarinya.

“Jalan ceritanya sangat menarik, di samping barisan pelakon yang hebat. Syarikat produksi yang menerbitkannya juga bukanlah syarikat yang asing bagi saya.

“Pada saya cerita fiksyen sains ini sangat teknikal. Saya tertarik kepada kaedah penggambaran drama ini selain karakter yang saya bawakan yang pada saya, berlainan,” kongsinya.

SELESA HIDUP SOLO

JODOH perkara rumit untuk dikupas kerana ia adalah rahsia dan ketentuan Allah SWT.

Bagi Gambit, dia buat masa ini selesa dan gembira hidup solo.

Katanya, soal memiliki kekasih atau berumah tangga bukan perkara yang harus dirunsingkan.

“Memang ramai yang bertanya, bila saya nak berumah tangga. Saya hanya mampu katakan, belum jumpa wanita yang berkenan di hati.

“Bagi saya, being single is a blessing. Saya sangat selesa dengan keadaan begini, buat masa ini. Orang single tak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa. Kita kawal sepenuhnya hidup kita.

“Kita tak perlu sedih dan berasa kesepian kerana kita single. Gunakan peluang ini untuk kita buat apa yang orang dah berkahwin tak boleh buat,” katanya.

Namun Gambit akui, dia juga, sampai satu masa nanti, perlu berumah tangga dan berkeluarga.

Cuma harapannya biarlah mahligai yang dibina nanti adalah bersama si dia yang memenuhi kriterianya.

“Saya tak mencari (pasangan hidup) sebenarnya. Ada satu masa, saya terfikir, saya kena cari dan segera berumah tangga sebelum usia saya menginjak 40 tahun.

“Tapi itulah, saya tak mahu terburu-buru tentang soal ini. Saya mahukan seorang soulmate untuk dijadikan isteri, si dia yang boleh menjadi kawan baik,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya