KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua pihak mengenai aspek kepentingan membudayakan integriti dalam kehidupan dan organisasi.
Titah baginda, bagi yang beragama Islam, seharusnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan sebenarnya.
“Ia akan menjadikan kita ini sebagai seorang insan yang berintegriti.
“Keimanan dan ketakwaan di dalam diri menjadi benteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan integriti,” titah baginda selepas berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai RM1,000 kepada Masjid Agung Medan di Sumatra Utara, Indonesia semalam.
Baginda diiringi anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan tersebut kepada imam kanan masjid itu, H. Muhammad Syukur Seregar.
Titah baginda lagi, setiap agama di dunia ini tidak pernah membenarkan penganutnya untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan atau di luar peradaban manusia.
Titah baginda, bahkan Islam itu jauh lebih lagi mengutama, menekankan, menjaga serta melarang umatnya daripada mencemari dan melanggari integriti.
“Justeru, bagaimana kita ingin menerapkan atau membudayakan nilai integriti ini dalam pekerjaan kita seharian. Sebagai permulaan, berusahalah untuk hadir lebih awal ke tempat kerja masing-masing. Ini akan memberikan kita lebih masa untuk bersarapan dan menyediakan meja sebelum kita memulakan pekerjaan kita.
“Kita juga mesti mempunyai perancangan dalam melakukan tugas yang diamanahkan kepada kita.
“Setiap kerja yang ditugaskan itu perlulah diselesaikan mengikut tempoh yang diberi atau dirancangkan. Kita juga perlu menjaga kualiti setiap kerja yang dihasilkan bagi menjaga nama baik diri serta agensi, organisasi atau syarikat yang diwakili,” titah baginda.-UTUSAN