SIKAP merendah diri dan sentiasa memikirkan orang lain merupakan kunci kejayaan buat penyanyi, Anuar Zain, 53, masih mampu bertahan sehingga hari ini.
Empat dekad bukan tempoh singkat buat Anuar yang menceburi bidang nyanyian sejak kecil. Kini, Anuar tampil menghadiahkan sebuah konsert solo sempena meraikan 40 tahun pembabitan dirinya dalam industri muzik tanah air.
Memilih tarikh 28 Oktober depan di Stadium Malawati Shah Alam, kata Anuar, dibuat dengan penuh perancangan teliti supaya tidak bertembung dengan mana-mana penganjuran konsert melibatkan artis tempatan lain.
“Sebelum buat kita sudah semak tarikh itu. Kami selalu fikirkan orang lain, kalau sudah ada artis lain buat konsert pada tarikh itu, kami tak akan buat pada tarikh sama.
“Dari dulu kami memang begitu, tak akan ganggu masa orang lain. Kami akan pastikan bulan tersebut tiada sebarang penganjuran konsert lain. Ini juga adalah cara saya menghormati rakan-rakan dalam industri yang sama,” katanya.
Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain berkata, penganjuran konsert itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada peminat setia yang menyokong perjalanan seni dan kariernya dalam bidang nyanyian.
Tidak bimbang dengan lambakan konsert lain, penyanyi lagu Keabadian Cinta ini berharap konsert yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Ikutkan stadium itu boleh menampung kapasiti 6,385 pengunjung. Sudah tentu saya mengharapkan tiket laris terjual.
“Konsert selama dua jam setengah itu akan dipecahkan kepada tiga segmen dengan untaian 20 lagu. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengulang konsep sama seperti pernah dilakukan dalam konsert solo sebelum ini,” jelasnya.
Mengulas pemilihan lokasi konsert, Anuar berkata, stadium tersebut dirasakan bersesuaian untuk menganjurkan acara selain menyimpan banyak kenangan manis buat dirinya yang membesar di Shah Alam.
“Lokasi itu sangat praktikal kerana ia berbentuk empat segi dan sangat senang bekerja. Daripada aspek pencahayaan dan sistem bunyi juga sangat baik.
“Saya pernah mengadakan konsert solo di Singapura dan Kuala Lumpur, tetapi Stadium Malawati menyimpan nostalgia yang sangat manis,” kongsinya.
Disoal sama ada Anuar merancang untuk menambah hari konsert sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan, tegasnya, cukup dengan satu malam persembahan sahaja.
“Konsert solo kelima ini hanya diadakan untuk satu malam sahaja. Kalau ada peminat yang mahu konsert lain, kita akan buat pada masa akan datang pula.
“Saya mahu berikan persembahan yang terbaik, kalau dua malam nanti bimbang tak dapat nak fokus. Setiap artis itu berbeza, pada saya satu malam sudah cukup,” ujarnya.
Tiket Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dibawakan JioBuddy itu akan mula dijual pada 12 Julai depan di pautan www.jiotix.asia dengan harga RM188 (Gold), RM388 (Platinum), RM488 (Diamond), RM888 (VIP 2) dan RM1188 (VIP 1).
TELITI SINGLE BAHARU
Anuar ternyata merupakan seorang anak seni yang begitu teliti dan sangat mementingkan kualiti dalam penghasilan single baharu.
Katanya, dia berdepan kesukaran dalam mencari material terbaik yang bersesuaian dengan dirinya selain memikirkan banyak faktor dalam penulisan lirik lagu.
“Memang selalu saya cakap akan keluar single baharu. Tetapi bila tiba masanya, kadang-kadang saya rasa tak bersesuaian. Apapun saya tak pernah berputus asa dan masih berusaha mencari lagu yang sesuai.
“Sebelum ini, ada satu ke dua lagu yang saya terima. Saya rasa boleh buat tetapi perlu diolah agar menjadi lebih dramatik. Sebabnya lirik tersebut menceritakan seolah-olah saya yang berselingkuh dan perlu meminta maaf.
“Risau pula penerima orang ramai nanti sedangkan saya tidak begitu. Tapi sebenarnya tidak, sebab ia hanyalah lagu semata-mata,” katanya.