KUALA TERENGGANU : Barisan Nasional (BN) Terengganu belum menetapkan calon untuk ditampilkan sebagai ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Said berkata, fokus utama ketika ini adalah untuk memenangi PRN dengan majoriti selesa untuk mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu.
Menurutnya, pucuk pimpinan parti juga tidak pernah membincangkan siapakah ‘poster boy’ yang bakal diangkat menjadi Menteri Besar sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN nanti.
“Yang penting kita kena menang dulu, jangan (sesiapa) angan-angan nak jadi Menteri Besar, Kita kena kerja, menang di kerusi masing-masing, kemudian pemilihan Menteri Besar tu akan ditentukan Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin).
“Ia hak mutlak Tuanku, saya pun tak ada makluman mengenai ‘poster boy’ setakat ini…kalau ada yang disebarkan pun di luar pengetahuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 27 calon yang akan bertanding atas tiket BN di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai Menteri Besar Terengganu sekiranya BN berjaya memenangi PRN ini.
Dalam pada itu, Ahmad turut menasihatkan ahli parti yang tidak terpilih menjadi calon dalam PRN kali ini agar tidak melakukan sebarang perbuatan ‘cah keting’ yang hanya akan merugikan parti.
“Sebagai pemimpin, jangan terlalu mudah terasa hati atau berkecil hati, sebaliknya kena sentiasa berhati-hati dan perlu berjiwa besar dalam menerima keputusan parti.
“Sekarang kita sokong orang yang bertanding dan pada masa akan datang, orang pula yang akan sokong kita bertanding, itu yang utama, perlu beri sokongan sepenuh hati kerana kita kerja untuk parti,” katanya. – UTUSAN