BN tekad kembali rampas DUN Ayer Hitam - Utusan Malaysia

BN tekad kembali rampas DUN Ayer Hitam

HAYAZI Azizan (kiri) bertemu dengan penyokongnya selepas mengikuti proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Bitara Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Jerlun, Kedah hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam akan berusaha keras bagi menarik semula sokongan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda dalam memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Calon BN DUN Ayer Hitam, Hayazi Azizan, 44, berkata, sekiranya diberi peluang, beliau akan kembali mendekati anak muda di kawasan itu khususnya menerusi program-program pembangunan diri.

Beliau berkata, beberapa aspek antaranya membabitkan kemahiran, sukan, budaya dan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti Ayer Hitam perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita juga menyedari masyarakat dan anak muda di luar bandar ini mempunyai tenaga yang tinggi kerana mereka sudah terbiasa dengan kerja lasak seperti mengusahakan bendang, menjadi nelayan dan pelbagai lagi.

“Jadi kita perlu asah bakat-bakat dari luar bandar ini untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas proses penamaan calon di Dewan Bitara Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Menerusi pengumuman calon itu, Hayazi bakal bertembung dengan bekas gurunya yang juga merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim pada PRN nanti.

Mengulas mengenai pertembungan itu, Hayazi berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berdepan dengan bekas gurunya itu memandangkan kedua-dua mereka mempunyai fahaman politik masing-masing.

“Cikgu merupakan insan yang mengajar saya di sekolah manakala politik ini pula benda berbeza kerana kami mempunyai pendirian masing-masing.

“Saya juga tidak akan menyentuh hal-hal dalaman berkaitan lawan saya sewaktu kempen dan kami berharap pendokong beliau juga dapat melakukan perkara sama,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga berharap pengundi dapat melakukan perubahan pada PRN kali ini bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri khususnya di Kedah dapat selari dengan kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sama agar dapat memudahkan urusan kita dalam mensejahterakan dan memberi keselesaan buat rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya