SABAK BERNAM: Pertembungan antara gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) dengan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.03 Sungai Panjang dijangka sengit apabila masing-masing membawa rombongan besar menemani calon ke Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Sri Bernam.
BN menamakan penyandangnya, Datuk Mohd. Imran Tamrin sementara PN pula mengenengahkan Mohd. Rezali Saari sebagai calon dan masing-masing sampai di Pusat Penamaan Calon pada pukul 9.15 dan 9.00 pagi bagi mengesahkan perebutan kerusi berkenaan.
Mohd. Imran tadi tiba bersama rombongan diketuai Pengarah Pilihan Raya DUN Sungai Panjang, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bersama pencadang dan penyokongnya, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Mardi Sukir dan Ketua Cabang PKR Sungai Besar, Azhar Achil.
Sementara Mohd. Rezali pula tiba bersama pencadang dan penyokongnya iaitu Ketua Cawangan Pas Parit 13, Mohd. Saberi Awang yang merupakan Pengarah Pilihan Raya DUN Sg. Panjang dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Sungai Besar, Mohd. Maksom Ramli.
Sehingga pukul 10.00 pagi tadi, tiada calon lain atau bebas tampil di Dewan Seri Bernam bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di DUN Sungai Panjang.
Mohd. Imran kali pertama memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas penyandang terdahulu Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi tidak mempertahankan kerusi itu lagi.
Beliau menang dengan memperoleh 10,530 undi, sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mariam Abdul Rashid (8,446 undi) dan Mohd Razali (6,999) undi.
Untuk rekod, DUN Sungai Panjang mempunyai seramai 40,786 jumlah pengundi meningkat sekitar 500 pengundi berbanding PRU15. – UTUSAN