KUALA TERENGGANU: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah percaya mampu memperoleh kemenangan majoriti mudah pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kemenangan tersebut berasaskan formula 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tangan dan kini hanya memerlukan tiga kerusi lagi.
Katanya, keyakinan tersebut berasaskan kepada data dan statistik, bukan omong kosong.
“Apabila kita kata 16 kerusi (DUN) dalam tangan, Menteri Besar (Muhammad Sanusi) sebut PH dan BN sekadar berangan, sedangkan kita buat simulasi angkat dan bersikap realistik.
“Kita hanya perlukan tiga kerusi lagi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri pimpinan PH dan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Madu Kelulut Bukit di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Mahfuz berkata, proses agihan kerusi gabungan PH dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri serta calon hampir selesai dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kita akan umum jumlah kerusi dan calon gagasan perpaduan PH dan BN serentak dalam seminggu ini.
“Di Terengganu juga insya-Allah ada ruang untuk Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding,” tambahnya. – UTUSAN