Bintara Muda Maritim Malaysia dituduh terima suapan RM7,900 - Utusan Malaysia

Bintara Muda Maritim Malaysia dituduh terima suapan RM7,900

MOHD. FADZIL Abdullah, 48, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,900 daripada seorang individu enam tahun lalu. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang Bintara Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,900 daripada seorang individu enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fadzil Abdullah, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fadzil yang ketika itu berkhidmat sebagai Bintara Muda Maritim Gred T6 APMM Pulau Pinang didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa bank sekitar negeri ini antara 17 April 2017 sehingga 2 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Afiqa Liyana memohon jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguambela S. P. Raman dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan munasabah susulan anak guamnya perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan berlangsung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Difahamkan, tertuduh membayar ikat jamin berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya