PUTRAJAYA: Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyindir PKR bilakah parti itu akan memulakan kempen satu undi untuk Pakatan Harapan (PH) sama dengan satu undi untuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu.
Setiausaha Bersatu Bahagian Ampang, Faizan Mohd. Nor berkata, kempen seumpama itu sangat wajar kerana ia dapat menyakinkan pengundi bahawa Ahmad Zahid adalah rakan strategik utama yang menjadi ‘aset’ kepada PH ketika ini.
“Barangkali pengundi PH yang masih terkeliru dengan apa yang berlaku selepas PRU15 boleh faham bahawa Ahmad Zahid kini adalah rakan sejati PH, walaupun jadi musuh ketat sebelum PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKR ketika PRU15 lalu giat menggunakan kempen ‘Satu undi untuk UMNO sama dengan satu undi untuk Zahid’ terutama dalam kalangan pimpinan utama PKR sehingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang 30 kerusi Parlimen.
Namun begitu, kempen tersebut hilang sebaik sahaja selesai PRU15 kerana Ahmad Zahid yang menjadi musuh PH telah bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa ini, beberapa pimpinan PN sedang galak menyebarkan kempen ‘Salam 5K’ yang antaranya menyelar tindakan khianat UMNO yang bekerjasama dengan PH/DAP selepas PRU15. – UTUSAN