BUTTERWORTH: Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum PRU-12 (2008).
Lebih mengecewakan, tol berkenaan masih beroperasi sehingga ke hari ini, malah kadar tol baharu yang dikenakan pada tahun 2015 membebankan pengguna laluan terbabit.
Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang, Tan Gia Wei berkata, DAP sebelum ini pernah berjanji memansuhkan tol sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, namun gagal ditepati sehingga ke hari ini.
“Kalau dahulu sukar untuk memansuhkan tol disebabkan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak senada.
“Tetapi, kini kedua-duanya sudah selaras di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan, maka sepatutnya tidak ada masalah untuk menunaikan janji memansuhkan tol itu.
“Jadi, kami mewakili suara rakyat khususnya penduduk setempat menunggu penjelasan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di plaza tol terbabit, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu itu sepatutnya dibawa ke sidang Parlimen oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
“Beliau jadi Ketua Menteri selama dua penggal, tetapi tidak bahaskan isu ini.
“Adakah beliau malu untuk bawa isu ini ke Parlimen? soalnya.
Plaza Tol Sungai Nyior mula beroperasi pada Januari 2007 dan pada Oktober 2015, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit antara 50 sen sehingga RM1.60.
Kadar baru tol bagi kelas pertama adalah RM1.20 berbanding 70 sen, kelas kedua RM2.40 berbanding RM1.00 dan kelas tiga RM3.60 berbanding RM2.00. – UTUSAN