Berhenti sekolah bantu keluarga

Berhenti sekolah bantu keluarga

MUHD. Ikman Hafifi Mohd. Ramdan (kiri) dan adiknya, Muhd. Aiman Danial (tengah) ketika ditemui Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed di Kampung Serkai Jadi, Tronoh dekat Batu Gajah Perak, semalam. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Anak kedua pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Gopeng dekat sini kelmarin, sudah berhenti sekolah sejak setahun lalu dan bekerja di kilang keropok untuk membantu keluarganya.

Muhd. Ikman Hafifi Mohd. Ramdan, 17, yang sepatutnya belajar di tingkatan lima tahun ini berkata, dia mengambil keputusan berhenti sekolah Julai tahun lalu semasa di tingkatan empat untuk bekerja di kilang keropok berdekatan rumah mereka di Kampung Serkai Jadi, Tronoh dekat sini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh itu mengakui keputusannya itu merugikan, namun, dia lebih mahu membantu keluarganya.

“Saya berhenti sekolah sebab nak bekerja, nak tolong emak dan bekerja sekali dengan emak di kilang keropok lekor. Memang pengurusan sekolah tak beri saya berhenti, tapi saya tetap nak bantu keluarga, ayah pula bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah.

“Bagi saya tak apalah saya berhenti asalkan saya dapat bantu ibu bapa. Memang emak dan bapa tidak setuju saya berhenti sekolah tetapi saya sendiri yang mahu membantu keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhd. Ikman berkata, tidak dinafikan mempunyai perasaan mahu menyambung pelajaran semula namun setelah kematian ibu dan bapanya, dia melupakan hasratnya itu sebaliknya mahu terus bekerja untuk membantu kakak dan dua adiknya yang masih bersekolah.

“Tak apalah saya tak dapat nak meneruskan persekolahan. Saya ada dua lagi adik yang masih bersekolah manakala kakak baru mendaftar masuk di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng. Biarlah mereka meneruskan persekolahan.

“Saya sebagai abang mahu berkorban untuk pelajaran adik-adik, apatah lagi sekarang bapa dan emak sudah tiada,” katanya.

Dalam kemalangan di Gopeng, ibu dan bapa Muhd. Ikman Hafifi, Mohd. Ramddan Abd. Rahim, 44, dan Kisdalliana Saad, 43, maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas.

Pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka ke Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng dan keluar membeli barangan keperluan di pekan Gopeng sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barang yang dibeli.

Pasangan itu meninggalkan empat anak termasuk Muhd. Ikman Hafifi dan tiga yang lain iaitu Norfatin Syafikah, 18, Muhd. Aiman Danial 13, dan Nurfatihah Najihah, 7 tahun.

Terdahulu, Muhd. Ikman Hafifi berkata, mereka empat beradik akan dijaga oleh bapa saudara mereka yang tinggal berdekatan rumah mereka di Kampung Serkai Jadi, Tronoh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya