KUALA LUMPUR: Bergelar Datuk atau tidak, pelakon veteran, Fauziah Nawi akan terus menyuarakan kelantangannya mengenai bayaran artis tidak setimpal dengan keringat dicurahkan.
Namun begitu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Fauziah akur, gelaran datuk yang diterimanya hanyalah satu bentuk penghargaan yang tidak memberikannya jaminan untuk mengubah apa-apa khususnya isu melibatkan kebajikan industri.
“Ada gelaran atau tidak, saya tetap lakukan perkara sama (bercakap tentang isu bayaran) dengan harapan ia menjadi inspirasi untuk lebih ramai lagi akan berani bersuara memperjuangkan isu melibatkan kebajikan warga industri.
“Suara saya kecil sahaja walaupun sudah bergelar Datuk. Sampai manalah agaknya saya boleh pergi,” kata pelakon Sayang Salmah itu.
Masih bergiat aktif dalam dunia lakonan pada usia 70 tahun, Fauziah tetap mengerah tenaga dan keringatnya bekerja untuk menampung kehidupan.
“Kadang saya terfikir untuk menjadi jutawan. Saya pernah doa Ya Allah, saya nak jadi jutawan. Tak perlu fikir tentang wang dan tak perlu fikir banyak benda selain boleh bantu lebih ramai orang.
“Saya sebenarnya tidak mahu wang menjadi sebab utama bidang lakonan. Tak seronok sebenarnya bekerja untuk mengejar wang.
“Namun kenyataannya, itulah. Kita perlu kerah tenaga pada umur sebegini untuk menyara diri,” tambahnya.
Pelakon yang memulakan karier pada 1973 itu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kurniaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu.