Ber-blues di Beale Street - Utusan Malaysia

Ber-blues di Beale Street

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBARA muzik legenda rock n roll dan blues seperti Elvis Presley dan Johnny Cash bermula di Beale Street, tempat berdirinya syarikat rakaman Sun Records milik Sam Phillips.

Kini, bangunan Sun Studio masih berdiri dan beroperasi di pusat kota Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat (AS). Beale Street menjadi pusat pelancongan kerana sejarah dan roh muziknya yang terbina sejak lebih 70 tahun lalu.

Sekarang, bayangkan anda bermain muzik yang pekat elemen blues dan rock n roll, bikin album dengan perkataan blues pada tajuknya dan diberi peluang untuk beraksi di Beale Street. Pecah kepala.

Tapi nasib baik kepala Azmyl Yunor (vokal/gitar/harmonika), Ammar Khairi (dram), Krist Chong (bass) dan N R Lohan (gitar) tak pecah. Azmyl Yunor & The Truly Asia memendam rasa teruja dan beraksi dengan jaya di Beale Street, Mei lalu.

Kugiran folk-rock itu menerima jemputan sebagai satu-satunya kugiran dari Malaysia untuk beraksi di Festival Muzik Beale Street yang diadakan serentak dengan Festival Antarabangsa Memphis in May. Tahun ini, Memphis in May meraikan Malaysia sebagai negara jemputan.

Di atas tanah Memphis, Azmyl Yunor & The Truly Asia mendendangkan lagu-lagu yang diterbitkan di bawah nama Azmyl Yunor. Lagu-lagu mereka banyak dalam bahasa Melayu, malah bercerita tentang kehidupan warga Bangi.

Tanpa batas bahasa atau budaya, kisah rakyat Malaysia berkumandang kuat di AS.

FOLK, ROCK DAN BLUES 

Azmyl Yunor & The Truly Asia boleh dianggap sebagai kugiran projek. Siapa yang mengikuti kembara muzik Azmyl Yunor tahu kugiran-kugiran yang pernah ditubuhkannya. Azmyl Yunor & Orkes Padu, Azmyl Yunor & The Sigarettes dan The Maharajah Commission masing-masing ada ceritanya sendiri.

Untuk kugiran ini, ia ditubuhkan bagi membantu Azmyl dalam persembahan langsung, terutamanya untuk membawakan lagu-lagu dalam album John Bangi Blues yang lebih rock n roll dan blues.

Nama The Truly Asia itu juga sudah lama diidamkan Azmyl. Dia ada impian untuk bikin kugiran di beberapa negara dengan menggunakan slogan pelancongan setiap negara.

Nama Azmyl Yunor & The Truly Asia memang kurang popular, baik di arus perdana atau lapangan independen. Tapi itu tidak bermakna mereka tidak bagus. Sebab itu mereka boleh terpilih untuk mewakili Malaysia di Memphis.

Di Festival Muzik Beale Street, mereka beraksi di pentas blues. Mungkin nama festival ini agak terpencil di Malaysia – tidak segah Glastonbury atau Coachella – tetapi ia bukan calang-calang juga.

Pentas utamanya dibarisi nama-nama besar seperti Robert Plant dan Alison Krauss; The Lumineers; Earth, Wind & Fire serta Ziggy Marley.

Di pentas bules pula, ada Los Lobos, Keb Mo dan Bernard Allison. Mereka satu-satunya kugiran yang beraksi dua kali dalam pentas blues. Kedua-dua set berdurasi 65 minit.

Malah, Azmyl juga mengambil kesempatan itu untuk mengatur persembahan di beberapa tempat lain, termasuk Nashville dan Louisiana. Dengan bantuan beberapa rakan dan bermodalkan bayaran dari festival, mereka tidak mahu sia-siakan peluang yang ada.

CARI PERSAMAAN, BUKAN PERBEZAAN 

Dalam Festival Antarabangsa Memphis in May, ada juga persembahan dari wakil Malaysia. Mereka mempersembahkan tarian kebudayaan.

Kedua-duanya – Azmyl Yunor & The Truly Asia dan penari kebudayaan itu mewakili Malaysia tetapi menggunakan kaedah yang jauh berbeza. Penari kebudayaan mempersembahkan seni yang eksotik di mata rakyat AS tetapi Azmyl Yunor & The Truly Asia membawa seni yang memang berasal dari AS.

Saya tulis ini bukan untuk mencari kaedah mana yang paling benar untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Kedua-duanya baik dan berkesan. Cuma saya mahu lontarkan buah fikiran.

Sebab Azmyl kata, dia ke AS bukan untuk menonjolkan perbezaan antara warga AS dengan Malaysia. Dia mahu tunjuk yang warga Malaysia dan AS ini sama sahaja, tetap manusia.

Mungkin ada kebudayaan yang terang perbezaannya tetapi perang harian kita sama juga. Hidup, berkeluarga, berkawan, bekerja dan bergembira.

Apabila Azmyl mengalunkan lagu tentang lori hantu yang banyak di Bangi, orang AS juga boleh faham. Lagu tentang ahli politik yang korup – relevan di serata dunia.

“Kami ke sana bukan untuk mengeksotikkan budaya Malaysia. Kami jadi kontemporari dan bawa cerita Malaysia melalui lirik serta penceritaan,” kata Azmyl.

Kongsi Ammar pula, mereka gembira apabila kehadiran mereka ke sana dapat mengubat kerinduan warga diaspora Malaysia di negara itu.

Ada yang hadir menonton persembahan, malah ada yang membantu mendapatkan sewaan van untuk mereka bergerak di sana.

“Apabila ada peluang ke luar negara, berhubunglah dengan warga kita di sana. Ramai yang fikir buruk tentang mereka, lupa diri dan sebagainya tapi sebenarnya mereka gembira dapat jumpa orang Malaysia. Dapat lepas rindu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya