LUMUT: Tindakan sebuah lori tanah membeli diesel berulang kali di beberapa stesen minyak di sekitar Beruas dekat sini, dalam sehari, menimbulkan syak sebelum dikesan melakukan penyelewengan diesel bersubsidi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan kemudian dilakukan di sebuah stor simpanan di kawasan penyelenggaraan dan pembinaan jalan di Batu 20, Trong, dekat Taiping, kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis telah menemui sebanyak 5,200 liter cecair yang disyaki minyak diesel disimpan di stor simpanan haram ini.
“Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang ditemui di lokasi kejadian telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati syarikat itu telah menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
Jelasnya, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Cawangan Manjung menjalankan operasi itu hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu di sekitar Pekan Beruas dan Trong.
Katanya, hasil risikan dan pemantauan mendapati modus operandi sindiket tersebut adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Beruas pada harga bersubsidi secara terus ke tangki asal kenderaan.
“Sebuah lori tanah membeli diesel tersebut secara berulang-kali sehingga lapan kali sehari dengan anggaran sebanyak 600 liter bagi sekali pembelian.
“Minyak diesel bersubsidi ini dipercayai telah diseleweng untuk kegunaan mesin dan jentera penyelenggaraan pembinaan jalan raya di kawasan tersebut.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan kos operasi perniagaan kerana harganya yang lebih murah dari minyak diesel komersial,” jelas beliau lagi.
Tegasnya, sebuah stesen minyak yang disyaki terlibat dalam sindiket itu juga telah diambil tindakan dan akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan lesen sekiranya didapati terbukti bersubahat.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN