Bekas mufti tokoh Maal Hijrah Selangor - Utusan Malaysia

Bekas mufti tokoh Maal Hijrah Selangor

Tokoh Maal Hijrah
TENGKU Amir Shah menyerahkan penganugerahan itu kepada Mohd. Tamyes di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, hari ini.

Pengumuman itu dilakukan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad sempena sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan penganugerahan itu kepada Mohd. Tamyes.

Mohd. Shahzihan berkata, Mohd. Tamyes, 72, merupakan pemegang Diploma Pendidikan Bahasa Arab dari Universiti Ain Syams Kaherah, Mesir dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir. 

“Beliau dikurniakan watikah pelantikan sebagai Mufti Selangor pada 16 Mac 1998 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan memegang jawatan itu selama 23 tahun sehingga 20 Mei 2021.

“Pencapaian dan jasa beliau juga antaranya sebagai Ahli Dewan Diraja Selangor, anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jawatankuasa Khutbah Selangor serta Pengerusi Jawatankuasa Operasi Agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya ketika mengumumkan penganugerahan itu.

Terdahulu, Tengku Amir Shah turut berkenan menunaikan solat bersama rakyat selain bacaan doa dan ceramah Maal Hijrah oleh penerima Anugerah Buku Negara 2018 dan 2019, Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman.

Turut menyertainya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Sementara itu, Haris dalam ucapannya mengingatkan rakyat Selangor bersatu padu dan tidak menimbulkan sentimen yang menyebabkan berlakunya pecah belah.

“Kita jangan sesekali sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dan sentiasa taat menjunjung kedaulatan institusi diraja. Selangor dapat kekal membangun dan maju kerana perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya