Bekas Ketua Penerangan UMNO Langkawi jadi calon PH Kuah

Bekas Ketua Penerangan UMNO Langkawi jadi calon PH Kuah

AHMAD FAUZI CHIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Ahmad Fauzi Chik.

Ini kerana, setelah 40 tahun berjuang dalam UMNO, beliau terus disenaraikan oleh pucuk pimpinan PKR sebagai calon kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN) walaupun baru sahaja menyertai parti berkenaan kira-kira empat bulan lalu.

Dalam pemilihan UMNO Mac lalu, Ahmad Fauzi, 63, yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Langkawi mencuba nasib merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu namun tewas kepada pencabarnya, Datuk Armishah Siraj.

Pesara kerajaan itu menganggap pencalonan pertama kalinya dalam pilihan raya itu adalah rezeki yang tidak terjangka kerana meskipun sudah lama terlibat dalam bidang politik bersama UMNO tetapi dalam PKR beliau adalah ‘orang baru’.

“Apa yang terjadi ini, saya yakin dan percaya adalah satu rahmat yang diberi oleh Allah SWT dengan pengalaman saya dalam politik bersama UMNO Bahagian Langkawi selama 40 tahun.

“Saya menyertai PKR lebih kurang empat bulan lalu dan boleh dikatakan sebagai orang baru. Tapi dengan keazaman dan keyakinan daripada peringkat tertinggi melihat kerja kuat saya selama ini, akhirnya saya terpilih menjadi calon di Kuah,” katanya ketika ditemui semalam.

Pengumuman nama Ahmad Fauzi dan sembilan lagi calon PKR bagi mewakili PH di Kedah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH.

Sementara itu, beliau berhasrat merampas semula kerusi DUN Kuah yang disandang Perikatan Nasional (PN) melalui wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut menyatakan telah mempunyai perancangan untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi bagi memastikan kemenangannya dalam PRN tersebut.

“Saya akan jumpa seramai mana pengundi yang boleh, semuanya ada dalam jadual saya. Saya yakin dan percaya bahawa komponen Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini telah membina atau menyediakan jentera-jentera yang cukup kuat untuk kita memastikan kemenangan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan pimpinan parti itu di Langkawi kerana telah memberikan penghargaan dalam bentuk tanggungjawab untuk mewakili PH di DUN tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Kuah dimenangi oleh Mohd. Firdaus Ahmad yang ketika itu bertanding di bawah tiket PKR dengan 8,276 undi menewaskan Nor Saidi Nanyan (Barisan Nasional) yang mendapat 5,824 undi, Mazlan Ahmad (Pas) dengan 2,685 undi dan Mohamad Ratu Mansor (Bebas) yang memperoleh 86 undi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya