Bekas isteri Radhi OAG belum buat laporan tarik balik kes

Bekas isteri Radhi OAG belum buat laporan tarik balik kes

NUR Shahira Ayu Zahiri keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas prosiding kes Radhi OAG yang didakwa mencederakan wanita itu. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, bekas isteri Radhi OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri belum menyerahkan laporan bagi mengesahkan pihaknya menarik balik kes terhadap penyanyi berkenaan yang menghadapi pertuduhan mencederakan wanita itu.

Peguam Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang rekod tarik laporan daripada Nur Shahira selaku mangsa dalam kes itu.

“Pihak kami percaya, pengadu (Nur Shahira) memerlukan sedikit masa, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh tambahan bagi pengadu memuktamadkan sebarang tindakan lanjut,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun turut mengesahkan pihak pendakwaan belum menerima laporan atau sebarang kenyataan tarik balik daripada pengadu.

“Saya mohon satu tarikh lain bagi perkembangan penyelesaian kes sekiranya ada, ” kata Noor Khairun.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menetapkan 29 Ogos ini bagi sebutan selain pihak-pihak perlu memaklumkan perkembangan terhadap penyelesaian kes.

Dalam pada itu, Nur Shahira, 29, mengesahkan pihaknya belum membuat laporan menarik balik kes terhadap Radhi kerana mereka masih dalam fasa perbincangan.

“Saya belum tarik balik kes lagi kerana ada beberapa perkara yang belum diselesaikan, ada benda yang belum jelas antara saya, Radhi dan peguamnya,” kata Nur Shahira ketika ditemui wakil media selepas prosiding itu.

Dalam prosiding sebelum ini, Nur Shahira mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan kes yang lebih panjang. Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Justeru, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Radhi ketika ditemui, penyanyi menafikan bersetuju menawarkan RM300,000 kepada bekas isteri untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, berhubung dakwaan wanita itu dicederakan penyanyi terbabit. Radhi juga menafikan bersetuju memberi RM5,000 dan RM500 kepada Nur Shahira namun hanya mengesahkan perkara itu ada dibincangkan antara peguamnya dan wanita terbabit.

Sebelum ini, Nur Shahira ketika bertindak untuk menyelesaikan kes secara baik berkata, dia meminta penyanyi itu membayar RM300,000 susulan keputusan mereka untuk mencapai persetujuan bagi menyelesaikan kes di luar mahkamah. Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya