SUNGAI PETANI: Bekalan hasil laut di Kuala Muda, di sini dilaporkan meningkat sejak awal bulan lalu meskipun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Seorang nelayan berpangkalan di Kuala Muda, Azman Abdul, 55, berkata, hasil laut seperti ikan kembung, pari, bawal, selangat, tenggiri, cencaru dan senangin antara yang banyak diperoleh.
Katanya, sebelum ini hasil tangkapan bagi ikan kembung kurang daripada 100 kilogram (kg) sehari namun sejak awal bulan ini jumlah tangkapan ikan kembung dilihat kian meningkat sehingga pernah mencecah 600 kg sehari.
“Harga borong bagi ikan kembung di sini kini dalam lingkungan RM7 hingga RM10 sekilogram sahaja berbanding RM14 hingga RM15 sekilogram pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pasar Bisik Ikan, semalam.
Bagaimanapun Azman berkata, tangkapan hasil laut kini sememangnya sukar diramal.
“Rezeki nelayan sukar diramal, ada masa pendapatan banyak ada masa langsung tiada hasil tangkapan,” ujarnya.
Sementara itu, pemborong ikan, Hasnizam Yahaya, 38, berkata, hasil tangkapan bagi ikan kembung dan selangat pada Ahad lalu adalah sebanyak 600kg berbanding hanya 300kg pada Rabu lalu.
“Keadaan ombak agak kuat pada hari ini, namun hasil yang dapat dibawa pulang nelayan agak lumayan. Kita dapat jual ikan kembung dengan harga RM9 sekilogram,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Padang Serai, Kulim, Hidayah Mohd. Ali, 35, berkata, dia dan suaminya, Faizal Mustafa, 37, sanggup datang seawal pukul 8 pagi untuk membeli hasil laut segar di pasar tersebut.-UTUSAN